Keluarga penyanyi ‘Bea Soba Bea’ nafi jual harta, rumah untuk kos guaman RM1.3 juta

Keluarga kepada penyanyi wanita popular Kelantan yang kini ditahan reman di Penjara Narathiwat, Thailand, menafikan mereka akan menjual tanah dan rumah untuk menanggung kos guaman yang dipercayai mencecah sehingga RM1.3 juta (10 juta baht).

Ahli keluarga terdekat berkata, tidak pernah terfikir oleh mereka untuk menjual harta dan mendapatkan khidmat guaman yang mencecah jutaan ringgit itu.

Menurut ahli keluarga penyanyi itu, mereka berasakan belum tiba masanya lagi bagi mereka untuk mendapatkan khidmat peguam selepas ‘terkejut’ mendengar kos yang ditawarkan.

“Saya ingin menafikan laporan berita semalam yang mengatakan keluarga kami sanggup menjual tanah dan rumah semata-mata untuk kos guaman di Thailand.

- IKLAN -

“Kami tiada rancangan lagi hendak ambil khidmat guaman sebab kami merasakan belum tiba lagi masanya,” katanya.

Beliau yang juga jurucakap kepada keluarga penyanyi itu berkata, mereka hanya akan mengambil keputusan susulan mengikut keadaan nanti.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Penahanan penyanyi berusia 29 tahun bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.

Enam suspek itu kini ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan.

Penyanyi yang berasal dari Kelantan dilaporkan berkata, keluarganya menolak dua peguam dari Thailand yang menawarkan kos sebanyak RM1.3 juta setiap seorang untuk mengendalikan kes beliau.