Ini Syarat Yg ‘Paijang’ Letakan Kpd Mereka (Pelaku)

Lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori mental yang menjadi mangsa pukul beberapa individu di Pasar Pagi Padang Astaka pada 17 Januari sedia memaafkan pelaku dengan syarat mereka datang berjumpanya secara baik.

Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali dengan panggilan Paijang berkata, perkara (kemaafan) itu boleh dilakukan sekiranya pihak berkenaan juga sedia tampil untuk meminta maaf.

“Kalau mereka (pelaku) datang meminta maaf dengan cara baik, saya tidak akan menolak mereka, malah akan sambut dengan baik.

“Begitupun, sehingga kini masih belum apa siapa-siapa berjumpa saya meminta maaf,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili di sini semalam.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, memandangkan dia dan pelaku serta keluarga pelaku tinggal di daerah yang sama, maka adalah wajar kedua-dua pihak bertemu untuk saling bermaafan.

- IKLAN -

“Kita semua duduk di Chukai, bandar ini bukanlah besar mana pun, pergi mana-mana pun pasti akan berjumpa,” katanya.

Bagaimanapun, Paijang menyerahkan keputusan untuk meneruskan tindakan saman sivil terhadap pihak memukulnya kepada peguam yang sudah dilantik.

Terdahulu, pada 20 Januari lalu melaporkan, Paijang telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Pagi Padang Astaka, Chukai pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari.

Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggang mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar pagi terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seramai lima individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Selain itu, seorang pempe­ngaruh yang dipercayai mengeluar­kan kenyataan ugutan di laman sosial berhubung kes tersebut turut direman dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Paijang mengakui dua tawaran menunaikan umrah yang diterima dianggap seperti ‘pela­ngi selepas hujan’ ekoran pelbagai ujian yang me­nimpa keluarganya sebelum ini.

Malah, sebelum insiden dipukul beramai-ramai di Pasar Pagi Padang Astaka pada 17 Ja­nuari lalu, beliau mengakui hubu­ngannya dan isteri pernah diuji pada tahun lalu.

“Allah mahu menguji saya. Selepas diuji dengan masalah saya dan isteri pada Ogos tahun lalu, kejadian ini (dipukul di pasar pagi) pula berlaku.

“Namun, di sebalik ujian ini, Allah berikan rezeki yang besar dengan menjemput kami sekeluarga ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya.

Paijang berkata, dia dan isteri, Faridah Abdul Karim, 44, serta anak lelakinya, Ahmad Fakhrie, 19, akan berangkat menunaikan umrah tajaan syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. pada 17 Februari ini.

Selain itu, katanya, dia, isteri dan kelima-lima anaknya turut dijadual berangkat ke Tanah Suci sekali lagi pada bulan April depan dengan tajaan Pengerusi Yayasan Global Mesra, Datuk Seri Salim Abdul Rahman yang juga dikenali ‘Datuk Seri Sultan Pemurah’.

“Insya-Allah, hadiah pakej mengerjakan umrah tajaan ‘Datuk Seri Sultan Pemurah’ diawalkan sebulan berbanding jadual asal pada Mei depan.

“Rezeki menunaikan umrah ini bersama keluarga memang tak disangka-sangka, saya memang lama berhajat untuk ke Tanah Suci, Alhamdulillah di sebalik ujian yang Allah berikan, Dia kurniakan hadiah tidak ternilai,” katanya.

Paijang dan keluarganya kini sedang menyiapkan diri dengan menghadiri kursus menunaikan umrah dalam tempoh dua ming­gu lagi.