Kongsi Foto Hidung Berd4r4h, Marsha Milan Ded4h Berdepan Masalah Suara

Kurang Dua Minggu Sebelum AJL39, Marsha Milan Cemas Dinasihat Kurangkan Menyanyi. Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Marsha Milan berdepan cabaran apabila doktor menasihatkannya supaya mengurangkan aktiviti menyanyi.

Marsha, 40, diminta untuk berehat selepas mengalami masalah suara yang serak dan tidak berada dalam keadaan baik, menimbulkan kebimbangan menjelang acara berprestij itu.

“Saya sudah ke klinik Isnin lalu dan doktor ada memberikan suntikan di dalam hidung, itu yang berdarah sedikit (merujuk kepada gambar dimuat naik).

“Doktor pesan jangan banyak menyanyi sebab kalau bercakap kedengaran normal tapi apabila menyanyi sangat ketara bunyi serak itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

- IKLAN -

Marsha disaran untuk tidak banyak menyanyi.

Marsha menjelaskan perkara itu selepas berkongsi foto memperlihatkan hidungnya yang kelihatan berdarah ditampal dengan pembalut.

Dalam pada itu, Marsha menjelaskan dia tidak akan berhenti berlatih untuk AJL39 sebaliknya akan menggunakan teknik yang pernah digunakan sebelum ini.

Jelas Marsha, dia akan membayangkan nota lagu Hening Rindu tanpa banyak menyanyi bagi memahami pergerakan melodi dan vokal.

“Sekarang saya banyak dengar lagu Hening Rindu dan membayangkan nota-nota nyanyian tanpa perlu menyanyi.

“Teknik ini turut saya gunakan pada AJL tahun lalu. Itu cara saya berlatih apabila berdepan masalah vokal,” jelasnya.

Marsha menjelaskan faktor sibuk bekerja mungkin salah satu faktor menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan kerana terlalu penat.

Apatah lagi kata Marsha tahun ini dia banyak terikat dengan projek berbeza menjelang AJL39 yang membuatkan jadualnya padat.

“Mana nak siapkan album, penggambaran muzik video malah sekejap lagi saya ada proses rakaman untuk sebuah projek sempena raya.

“Mungkin kerja-kerja ini membuatkan badan saya tidak berapa kuat, itu yang tumbang sekejap.

Marsha mempertaruhkan lagu Hening Rindu di AJL39.

“Esok (Khamis) saya akan kembali untuk sesi latihan AJL dan insya-Allah saya akan buat yang terbaik,” ujarnya.

AJL39 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 16 Februari ini bermula pukul 9 malam.

Sepuluh lagu bakal berentap di AJL39 termasuk Puas Sudah (Aina Abdul), Terus Bersinar (Hafiz Suip), Aura (Ernie Zakri), Hening Rindu (Marsha Milan), Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini) dan Diam (Hael Hussaini).

Turut sama ke AJL39 ialah Saksama (Akim And The Majistret), Pujaanku (Masdo dan Aishah Aziz), Sengaja (Amir Masdi) dan Risiko (Benzooloo, Ghidd, Meerfly, MK K-Clique dan Tuju).