Nina Ismail Sabri Kongsi Keadaan Terkini Bapa – ‘Beliau Sedar, Stabil & Semakin Baik’

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri pada awal pagi Sabtu.

“Dimaklumkan bahawa Datuk Ismail Sabri Yaakob telah dikejarkan ke Sunway Medical Centre, Kota Damansara pada pukul 2.30 awal pagi tadi.

“Datuk Seri Ismail pengsan dan tidak sedarkan diri pagi tadi. Semoga beliau diberi kesembuhan oleh Allah SWT,” kongsi salah seorang pembantu bekas Perdana Menteri itu, Yuri Azhar Mazlan, dalam catatan di Facebook.

Dia turut memuat naik sekeping gambar Ismail Sabri yang sedang berehat di katil hospital.

Seorang lagi pembantu kepada bekas Naib Presiden Umno itu mengesahkan beliau kini berada dalam keadaan stabil.

- IKLAN -

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera merupakan perdana menteri kesembilan Malaysia dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau menjawat jawatan Naib Presiden Umno dari 2018 hingga 2023.

UPDATE 9:43 pm : 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dalam keadaan stabil dan telah sedar sepenuhnya petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Azran Fitri Rahim berhubung keadaan terkini Ismail Sabri yang dilaporkan pengsan awal pagi tadi.

“Ramai bertanya kepada saya mengenai keadaan terkini Datuk Seri setelah pengsan di rumahnya akibat tekanan darah tinggi kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

“Alhamdulillah keadaan beliau pada petang ini telah stabil dan sedar sepenuhnya.

“Bagaimanapun beliau masih memerlukan pemerhatian rapi daripada Doktor di sebuah hospital di Damansara,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Azran Fitri berkata, doktor juga tidak membenarkan beliau menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.

“Hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk menziarahi beliau.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan beliau supaya kembali pulih seperti sediakala. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Yang Maha Esa,” katanya

Petang tadi Kosmo! melaporkan Ismail Sabri pengsan dan tidak sedarkan diri serta telah dikejarkan ke hospital di Kota Damansara pukul 2.30 pagi tadi.

Nina bersyukur

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram Story (IGs), anak kepada Ismail Sabri iaitu Nina atau nama lengkapnya Nina Sabrina Ismail Sabri memuat naik perkembangan terkini bapanya.

Pagi semalam saya berasa sangat kabur, tetapi keadaan menjadi lebih baik pada sebelah petang. Alhamdulillah.

Beliau sedar, stabil dan keadaannya semakin baik ketika ini.

Dalam masa yang sama, Nina juga mengucapkan terima kasih kepada semua kenalan yang cuba menghubunginya untuk bertanyakan khabar Ismail Sabri.

Terima kasih di atas semua panggilan telefon, mesej, dan direct message (DM).

Saya belum berkesempatan untuk membalas semuanya tetapi saya akan jawab dalam masa terdekat.

Nasihat untuk semua

Sementara itu, dalam hantaran yang sama, Nina turut menitipkan nasihat agar orang ramai sentiasa mengambil berat tentang kesihatan mereka.

Kesihatan adalah kekayaan, jika awak semua merasakan ada sesuatu yang tak kena, jangan tunggu dan pergilah ke hospital segera.

Sentiasa percaya kepada naluri anda.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor selepas tidak sedarkan diri.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar beliau Azran Fitri Abdul Rahim mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan stabil.

Sumber: IG Nina Ismail Sabri