“Menurut peguam syarie bergantung dgn niat Aiman..”- Ini keputusan Siti Jamumall…

“Saya maafkan semua yang dia (Aiman) pernah buat kerana saya pun ada silap juga dan reda apa yang sudah jadi,” kata pempengaruh media sosial, Siti Jamumall, 26, yang diceraikan oleh suami, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, ketika sedang bersiaran langsung di TikTok, Rabu lalu.

Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin menerusi sesi siaran langsung di TikTok semalam berkata, dia juga meminta pengikutnya supaya tidak mengecam Aiman atas apa yang berlaku itu.

“Memaafkan itu lebih baik. Saya juga mohon doa yang baik-baik buat saya dan anak-anak serta Aiman juga.

“Jangan kecam dia (Aiman). Benda yang lepas tu sudah berlaku. Dia pun ada kebaikan yang dia buat dan ingatlah sisi baiknya,” katanya yang masih lagi tinggal di rumah kelamin bersama dua anaknya.

- IKLAN -

Siti berkata, dia juga perlu ke mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai itu.

“Saya pun tidak tahu sama ada kami boleh rujuk semula atau tidak. Menurut peguam syarie, keputusan sama ada boleh rujuk itu bergantung pada niat dan kefahaman Aiman ketika lafaz cerai ketika itu.

“Saya belum ke mahkamah lagi. Belum ada kekuatan. Nak keluar depan pintu rumah pun tak ada mood,” katanya yang kini hamil lima bulan hasil perkahwinan bersama Aiman.

- IKLAN -

Menurut Siti, untuk berbaik semula dengan Aiman, ia akan mengambil masa.

“Kalau kami boleh rujuk semula atau Aiman bercadang untuk kembali semula, saya juga perlu fikirkan kalau perkara itu boleh beri kebaikan pada anak-anak.

“Anak dalam kandungan saya perempuan dan dia juga akan cari bapanya juga bila besar nanti.

“Paling penting, dia perlu dapat restu daripada ayah saya sebagai wali yang masih hidup kerana masa kami kahwin dulu keluarga juga menentang (tidak setuju)

“Tapi jika kami tak boleh rujuk, kita teruskan hidup macam biasa,” katanya

Sementara itu, Siti berkata, buat masa ini dia juga berehat seketika dari berniaga dan membuat siaran langsung di TikTok.

“Saya tak berniaga dan buat live buat masa ini kerana mahu berehat dulu dan percaya aturan Allah SWT lebih baik,” katanya.

Terdahulu, menerusi sesi siaran langsung di TikTok, pasangan terbabit bertengkar dan saling tuduh-menuduh sehingga emosi masing-masing tidak terkawal.

Kemudian, Aiman atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah dalam nada tersekat-sekat akhirnya menceraikan isterinya.

“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua,” katanya yang mengulangi perkataan terbabit sebanyak tiga kali.

Dia juga memaklumkan tidak mahu terus dipijak isterinya itu dan mahu mengembalikan semula maruahnya sebagai lelaki.

Siti yang mendengar lafaz cerai itu terus terdiam dan menitiskan air mata sehingga terpaksa ditenteramkan dua lelaki lain dipercayai pembantunya untuk siaran langsung ini.

Pasangan terbabit sebelum ini pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu.

Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Siti turut mempunyai dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4, hasil perkahwinan terdahulu dengan Mohammad Syafiq pada 2019 dan bercerai pada Disember 2022.

Perkahwinan Siti dengan Aiman berlangsung di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu.

Siti juga dilaporkan mengalami masalah kemurungan dan kegelisahan (anxiety) serta memerlukan sokongan selepas diceraikan suaminya.

Trauma diceraikan disaksikan 20,000 pengikut

“Tindakan Aiman buat Siti macam tu kurang matang sebab dia terlalu muda,” kata abang kepada pempengaruh media sosial, Siti Jamumall, 26, iaitu Mohd Khairul Nizam Wahidin ketika ditanya penerimaan keluarga selepas adiknya diceraikan secara live di TikTok oleh suaminya itu.

Mohd Khairul Nizam atau Abiejam ketika dihubungi berkata, keluarganya juga tidak setuju dengan perbuatan Aiman berkenaan.

“Ahli keluarga juga tidak suka dia (Aiman) lafaz cerai itu secara live di hadapan lebih 20,000 pengikut.

“Perkara itu tular di media sosial dan timbulkan spekulasi ramai. Kami sekeluarga juga berasa ia tak sepatutnya berlaku kerana Aiman lafaz talak semudah itu selepas ahli keluarga kami menerimanya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya keadaan Siti yang trauma dan kemurungan pula, Mohd Khairul Nizam berkata, ahli keluarga juga sentiasa beri sokongan dan berada di belakang Siti dan anaknya.

“Kami kini cuba tenangkan Siti dan bantu untuk memulihkan semangat dan kesihatan mentalnya kerana kami mahu dia kembali seperti Siti yang dulu.

“Sebagai abang, saya tahu macam mana adik saya pada awal perkenalannya dengan Aiman, bercinta, kahwin hingga nak ada anak sekarang.

“Saya sendiri terkejut dan sedih tengok keadaan Siti selepas penghujung sesi live di TikTok itu di mana dia nak rebah dan jatuh pengsan bila diceraikan Aiman hingga kami tenangkannya,” katanya.

Mengulas soal lafaz cerai dan rujuk pula, kata Mohd Khairul Nizam, perkara itu kini dirujuk kepada peguam syarie dan mahkamah syariah.

“Jika perceraian itu boleh buat Siti bahagia, kita sebagai ahli keluarga juga reda.

“Tapi kalau mereka ada jodoh yang panjang dan Siti masih sayang Aiman dan dia pun nak berubah kita terima juga,” katanya.

@amymy913 #sitijamumall #fyp #fypage #fyppppppppppppppppppppppp ♬ bunyi asal – Amymy91

Sumber – HarianMetro