“Zara Patut Hidup, Sistem Patut Lindungi” – Mimi Lana Tuntut Pembuli Ditangkap Segera

Pelakon Mimi Lana meluahkan kemarahan terhadap kegagalan sistem melindungi remaja Zara Qairina, 13, yang meninggal dunia selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Sabah.

Dalam hantaran penuh emosi di Instagram, Mimi – nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 29 – menegaskan Zara sebenarnya sudah “meminta tolong” dan menyebut nama pembuli, tetapi rayuannya tidak dipedulikan sehingga berakhir dengan tragedi.

“Dia dah bagi petunjuk. Tapi suara arwah tak pernah benar-benar didengari … sampai dia akhirnya pergi,” tulis Mimi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MIMS (@missmimilana)

“Pembuli masih bebas – apa lagi kita tunggu?”

Mimi mempersoalkan mengapa pelajar yang dikaitkan masih berada di luar tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana! Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak terkorban baru nak bertindak?” tambahnya.

Beliau turut menyelar ibu bapa yang didakwa melindungi anak mereka walaupun mengetahui mereka terlibat dalam insiden buli yang membawa maut.

- IKLAN -

Desak identiti pembuli didedahkan

Mimi mendesak pihak berkuasa mendedahkan identiti pembuli yang disebut arwah supaya masyarakat tahu siapa yang harus dipertanggungjawabkan, dan agar siasatan dijalankan secara telus.

“Zara patut hidup. Sistem yang gagal kena diperbetulkan sekarang,” katanya.

Netizen puji keberanian Mimi

Ruang komen hantaran itu dibanjiri ribuan sokongan – ramai berterima kasih kerana Mimi menggunakan pengaruhnya untuk bersuara bagi pihak keluarga mangsa, selain menuntut keadilan segera.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia. Kes masih dalam siasatan polis.

Hantaran Penuh Mimi Lana Di Instagram

Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG! Adik Zara, seorang murid sekolah, berulang kali menyuarakan penderitaan dia, menyebut satu persatu nama pembuli yang menyeksa dia secara fizikal dan mental. Dia dah minta tolong. Dia dah bagi petunjuk. Tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari… sehingga dia akhirnya pergi.

Sama ada dia dibunuh atau tidak, FAKTANYA, dia dibuli!! Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana!Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak? Semua yang terlibat mesti disiasat dan DITANGKAP! Termasuk ibu bapa yang masih lindungi anak mereka walaupun tahu mereka pembuli! kamu sedang rosakkan hidup anak kamu sendiri! Kita tak boleh diam lagi. Benda ni dah jadi barah dalam masyarakat.Budaya buli di sekolah bukan hal biasa. Ia bunuh jiwa, bunuh harapan, dan kali ini… ia bunuh nyawa.

Zara patut hidup. Tapi sistem gagal lindungi dia.Sekarang, sistem kena betulkan semula. Tunjukkan muka budak-budak yang dia sebut. Tunjukkan siapa yang biar ini semua terjadi. Keadilan untuk Zara mesti ditegakkan!

Ya Allah, Kau tempatkanlah adik Zara di syurga-Mu yang tertinggi. Kau tenangkanlah hati kedua ibu bapanya, dan berikan kekuatan kepada keluarganya untuk menghadapi ujian ini. Amin ya Rabb.

#justiceforzara

Sumber – OhMedia