“Tak kira Tan Sri, Datuk Seri atau menteri” — PM Anwar tegaskan tiada pelindungan dalam siasatan kematian Zara Qairina

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, mesti dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi sambil menolak sebarang usaha melindungi mana-mana individu berpengaruh.

Anwar berkata, kes membabitkan kehilangan nyawa tidak boleh dipandang ringan dan tidak wajar dipolitikkan.

“Siapa pun terlibat termasuklah Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri jika ada unsur jenayah atau bersekongkol, tidak akan diberi pelindungan. Tetapi hentikan fitnah,” katanya.

Menurut Anwar, beliau telah dimaklumkan bahawa lebih 60 saksi dipanggil bagi membantu siasatan.

Laporan lengkap siasatan awal juga telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan susulan.

- IKLAN -

Beliau menambah, tiada campur tangan eksekutif dalam siasatan; kerajaan hanya mengikuti perkembangannya agar rakyat dimaklumkan dengan telus.

Kes berprofil tinggi ini terus menjadi perhatian selepas AGC mengarahkan penggalian semula kubur arwah bagi membolehkan bedah siasat terperinci dijalankan.

Langkah itu diambil bagi melengkapkan bukti dan memastikan setiap sudut siasatan diteliti.

Zara Qairina, 13, dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Polis sebelum ini menyatakan kemungkinan unsur buli tidak ditolak dan siasatan sedang berjalan.

Sumber – Hmetro