“Ini sesuatu yg menyedihkan, kami pekebun bersedia…” Baru je dibebaskan, Ini luahan MP raub

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Gabungan Selamatkan Musang King (SAMKA), Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan polis selepas hampir 20 jam ditahan bagi membantu siasatan.

Kedua-dua mereka meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada pukul 11.30 pagi selepas ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam kerana disyaki menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Yu Hui alam kenyataannya merakamkan penghargaan atas sokongan dan solidariti yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) serta Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen dan barisan kepimpinan negeri.

Beliau berkata, penahanan mereka adalah demi mempertahankan suara dan nasib para pekebun durian di Raub yang sekian lama berusaha untuk mendapatkan hak ke atas tanah yang diusahakan mereka.

“Para pekebun sebenarnya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri. Sejak lima hingga enam dekad lalu, mereka telah berusaha memohon geran tanah dan permit penanaman sementara.

“Sekalipun kini wujud campur tangan syarikat besar, asalkan pekebun dilayan dengan adil, kami sedia untuk duduk berbincang dan menjalin kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan negeri Pahang segera menghentikan tindakan penebangan dan meminta semua pihak kembali ke meja rundingan dengan menjadikan kepentingan pekebun sebagai keutamaan.

Sementara itu, Chang berkata, mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dan memaklumkan bahawa layanan yang diberikan pihak berkuasa adalah mesra serta profesional.

Namun begitu, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan penebangan pokok durian yang didakwa berlaku secara berterusan walaupun terdapat perintah mahkamah yang masih berkuatkuasa.

“Kami para pekebun mematuhi undang-undang tetapi ada pihak yang terang-terangan melanggar perintah mahkamah, terus menebang pokok dan memusnahkan titik peluh pekebun.

“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan, tetapi mestilah atas asas keadilan dan saling menghormati,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*