“Kenapa saya pula orang nak boikot?” Ramai kecam Ifa Raziah, Ruhainies tarik diri sertai festival jualan raya

PELAKON Ruhainies membuat keputusan menarik diri daripada menyertai festival jualan Starvendors KLCC Mega Raya Fest yang dijadualkan berlangsung pada 29 Mac hingga 1 April ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh penyanyi Ifa Raziah yang juga bertindak sebagai penganjur acara jualan tahunan itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 49, tindakan tersebut dibuat kerana Ruhainies enggan menjejaskan perniagaan pihak lain yang turut terlibat dalam acara berkenaan.

Ruhainies sebelum ini terlibat dalam mempromosikan acara festival jualan.

“Ruhainies beritahu saya yang dia tarik diri. Dia dah lama fikir kerana tidak mahu perniagaan orang lain terjejas,” katanya.

Ifa berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Dipercayai keputusan tersebut dibuat susulan kontroversi tangkap khalwat yang melibatkan dia dan pelakon Aliff Aziz.

Sebelum itu Ifa juga menerima banyak kecaman apabila menyenaraikan Ruhainies sebagai salah seorang vendor yang terlibat dalam acara tersebut.

Meluahkan rasa kecewa, Ifa merasakan tidak adil sekiranya ada pihak mahu memboikot acara tersebut hanya kerana penglibatan seorang artis yang berdepan kontroversi.

“Saya tidak boleh sebelahkan mana-mana pihak. Kedua-duanya (Ruhainies dan Bella Astillah) adalah adik saya. Saya dah kenal lama dan mereka cari rezeki berniaga.

Daripada kita terus nak kecam, lebih baik doakan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik

IFA RAZIAH

PENYANYI

“Janganlah disebabkan isu peribadi sehinggkan peminat tidak suka dan nak boikot. Kesian artis-artis lain yang berniaga juga,” luahnya.

Dalam masa sama Ifa turut menasihati orang ramai agar tidak mudah meletakkan hukuman dan terus mendoakan mereka berdua.

“Daripada kita terus nak kecam, lebih baik doakan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” jelasnya.

Ifa menerima banyak kecaman dari peminat Bella.

Pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) di sebuah kondominium mewah atas tuduhan khalwat.

Susulan kejadian itu, isteri Aliff iaitu Bella Astillah memfailkan cerai terhadap aktor itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan secara ekspres pada Isnin lalu.

Kes berkenaan yang disebut pada Rabu lalu bagaimanapun ditangguh pada 4 April depan selepas Aliff tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.