Kesan Darah Dikesan pada Nota Tulisan Tangan Zara Qairina, Mahkamah Koroner Diberitahu

Zara Qairina

KOTA KINABALU, 9 September 2025 – Prosiding inkues hari ketiga bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini dikejutkan dengan pendedahan mengenai penemuan kesan dipercayai darah pada helaian kertas yang mengandungi tulisan tangan mangsa.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Datuk Ram Singh, semasa sesi soal balas terhadap saksi kedua, Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, di Mahkamah Koroner di sini.

VIDEO :

@miss_sophie274 Ada kesan darah?? 🥺🥺Semoga keadilan berpihak kepadamu adik Zara Qairina, laknatlah mereka yg memfitnah dirimu,semoga Allah membalas segala kejahatan yg mereka lakukan dan sembunyikan utk menjatuhkan kamu dik🤲🤲🥺🥺 #JusticeForZara #SayaKongsiTandaPeduli ♬ original sound – Miss Sophie

Di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Ram Singh berulang kali menyoal saksi mengenai tompokan kemerahan pada beberapa dokumen yang ditanda sebagai bahan bukti.

- IKLAN -

Merujuk kepada satu dokumen bertanda ‘Y8’, Ram Singh bertanya, “Bila anda melihat terdapat kesan darah, adakah anda bercadang untuk menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis?”

Nurul Atiqah menjelaskan bahawa prosedur telah dipatuhi, di mana dokumen tersebut sememangnya dihantar ke unit forensik DNA terlebih dahulu untuk dianalisis sebelum ia diserahkan kepadanya bagi tujuan pengecaman tulisan.

Walau bagaimanapun, apabila Ram Singh menunjukkan satu lagi helaian berasingan bertanda ‘Y9’ dan bertanya sama ada saksi perasan terdapat kesan darah, Nurul Atiqah menyatakan ia tidak jelas.

“Ada kesan darah?” desak Ram Singh.

“Saya tidak pasti,” jawab saksi itu.

Meskipun isu kesan darah menjadi tumpuan, keterangan utama Nurul Atiqah adalah untuk mengesahkan ketulenan tulisan tangan pada nota-nota tersebut. Beliau mengesahkan bahawa beberapa perenggan tulisan yang antara lain menyuarakan rasa tidak puas hati kepada ibunya, adalah tulisan tangan Zara Qairina.

Pengesahan itu dibuat selepas beliau membandingkan tulisan pada nota-nota tersebut dengan tulisan arwah yang terdapat pada buku latihan dan buku teks miliknya, yang menunjukkan ciri-ciri sepadan dan konsisten.

Sebanyak 15 helaian kertas bertanda, empat buku nota, dan dua buku teks yang dimasukkan dalam 21 paket plastik merupakan antara bahan bukti utama yang dikemukakan di mahkamah hari ini.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina ini dijadualkan berlangsung selama 17 hari sehingga 30 September, dengan seramai 68 saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan.

Sumber –  Berita Harian