KPM: Kes Pelajar Tumbuk Guru Diserahkan Sepenuhnya Kepada Polis

SEPANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mencampuri siasatan polis berhubung insiden pelajar tingkatan dua yang bertindak menumbuk guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor, Isnin lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata meskipun KPM mempunyai garis panduan tersendiri bagi menangani kes salah laku di sekolah, pihaknya menghormati bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengambil alih siasatan.

“Kita ada peraturan KPM, namun apabila pihak berkuasa – khususnya polis – membuka kertas siasatan, kita serahkan sepenuhnya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus ketibaan pasukan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di KLIA Terminal 1, tengah malam tadi.

Sokongan emosi buat guru

Tambah Fadhlina, KPM akan memberi tumpuan kepada kebajikan guru berusia 29 tahun terlibat termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan psikososial.

- IKLAN -

“Sokongan terhadap guru sangat penting demi kesejahteraan mereka,” tegasnya.

Kronologi insiden

  • 15 Julai (Isnin) – Pelajar lelaki, 14, dikatakan ponteng kelas Pendidikan Jasmani.

  • Guru menegur; suspek bertindak agresif, mengugut lalu menumbuk mangsa di koridor sekolah.

  • Kejadian disaksikan beberapa guru dan pelajar, dan rakaman 38 saat tular di media sosial.

  • Petang sama – Suspek ditahan polis di sekitar Kajang; direman dua hari.

@brofirdauswong

Pelajar pukul guru Video pelajar menumbuk guru lalu di ‘feed’ saya. Dikhabar bahawa pelajar itu telahpun ditahan polis setelah laporan polis dilakukan dan dijangka akan didakwa di mahkamah hari ini. Tindakan pelajar ini tidak mengejutkan saya. Kenapa? Saya tidak mengatakan bahawa tindakan semua guru betul tetapi antara dua faktor utama yang menyumbang kepada kelakuan pelajar sebegini adalah ibubapa & pergaulan. Saya tidak terlalu suka membandingkan situasi pada zaman berbeza tetapi adakalanya perbandingan itu perlu untuk kita memahami kenapa sesuatu perkara itu berlaku. Dahulu pada 80an atau 90an, jikalau guru memaklumkan kepada ibubapa bahawa anak mereka mempunyai masalah disiplin di sekolah, pelajar tersebut akan didisiplinkan oleh ibubapanya sendiri malahan adakalanya ibubapa akan meminta guru sekolah mendisiplinkan lagi anak mereka. Apa yang berlaku hari ini adalah ibubapa terlalu ‘over protective’ sehingga anak-anak hilang rasa hormat pada guru & berani mencabar malahan memukul guru sebagaimana dalam video ini. Disiplin anak bermula dari rumah. Jikalau ibubapa sendiri berkelakuan kasar & kurang disiplin di rumah, kebiasaannya anak mereka akan menjadi kurang ajar & kasar di sekolah yang seterusnya menyebabkan pelajar bergaul dengan individu yang mereka boleh ‘buli’ & kuasai atau yang sama perangai dengan mereka. Senakal manapun seorang pelajar pada 80an & 90an, paling teruk sekalipun hanyalah menenung tajam guru apabila ditegur atau memaki guru di belakangnya. Saya tak kata perkara itu bagus tetapi sebagai perbandingan dengan pelajar hari ini. Melawan balik atau memukul guru? Jauh sekali. Mereka yang kerap dirotan atau dihukum guru disiplin dulu akan paling banyak mengingati & berterima kasih kepada guru-guru mereka itu kerana ketegasan mereka dulu yang telah menjadikan mereka seorang manusia pada hari ini. Nasihat kepada pelajar, jagalah adab kelakuan anda terhadap orang yang lebih tua apatahlagi pada guru. Kepada ibubapa, jagalah akhlak kita sebagai ibubapa kerana kelakuan kita akan menjadi contoh kepada anak-anak di rumah. Buat semua guru, jikalau ada pelajar begini, buat laporan polis untuk melindungi diri anda. Tiada toleransi terhadap buli begitu juga tiada toleransi terhadap pelajar yang kurang ajar sehingga memukul guru.

♬ original sound – FirdausWong

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan (cedera & ugutan jenayah). Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dijadual didakwa di Mahkamah Kajang, hari ini.

Jika sabit kesalahan, pelajar boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 bagi Seksyen 323, manakala Seksyen 506 memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

PDRM mohon kerjasama saksi

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Wahid di talian 013-549 5236 bagi membantu siasatan.

Sumber – hmetro.com.my