Kronologi terbaharu kes Zara Qairina: saksi muncul dakwa lihat mangsa tidur di tandas jam 2.30 pagi

KOTA KINABALU – Siasatan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, 13, di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Sabah terus berkembang apabila seorang saksi mendakwa kali terakhir melihat remaja itu tidur di belakang pintu tandas asrama pada awal pagi hari kejadian.

Dalam hantaran di Facebook milik Nursyafiqah Roslan – individu yang aktif berkongsi maklumat daripada keluarga mangsa – saksi berkenaan memaklumkan beliau ternampak Zara sekitar 2.30 pagi ketika ingin mandi. Ketika itu Zara dikatakan loneh berbaring di lantai tandas sebelum dimarahi seorang senior yang dipanggil “Kak Dedeng”. Selepas menegur, senior terbabit dikatakan beredar dan tidak kelihatan lagi sehingga Zara ditemui tidak bernyawa di dalam longkang asrama kira-kira 24 jam kemudian, pada 16 Julai.

Nama “Kak Dedeng” muncul selepas dua individu – “Kak Wana” dan seorang pelajar berpenampilan tomboy – tular sebelum ini kerana didakwa terlibat dalam insiden buli yang dikaitkan dengan kematian Zara. Menurut Nursyafiqah, waris mempersoal mengapa “Kak Dedeng” tidak dipanggil oleh pihak berkuasa meskipun keterangannya dianggap penting bagi merungkai apa sebenarnya berlaku menjelang kejadian.

“Jangan risau, Zara… satu Malaysia sokong Zara,” tulis Nursyafiqah, menyeru agar saksi tampil dan siasatan dibuat secara telus.

Suasana asrama masih aktif lewat malam

Keluarga Zara sebelum ini memaklumkan bahawa suasana di blok asrama seringkali masih ‘hidup’ walaupun melewati tengah malam – pelajar berbual, mencuci pakaian atau mandi. Kenyataan tersebut menimbulkan persoalan bagaimana insiden menimpa Zara boleh terlepas daripada perhatian penghuni lain serta warden bertugas.

- IKLAN -

Siasatan diteruskan

Setakat laporan ini ditulis, polis belum mengesahkan identiti mana-mana individu yang didakwa terlibat, manakala punca kematian remaja berkenaan masih menunggu hasil penuh bedah siasat dan siasatan dalaman pihak sekolah. Keluarga mangsa mendesak agar semua yang disebut – termasuk “Kak Wana”, pelajar tomboy dan terbaharu “Kak Dedeng” – dipanggil segera untuk dirakam keterangan.

Orang ramai digesa tidak membuat spekulasi berlebihan, sebaliknya memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan. Namun, netizen terus mengikuti perkembangan kes ini dengan harapan keadilan untuk arwah Zara dapat ditegakkan.

Kronologi penuh kes kematian Zara Qairina

16 Julai 2025 (Rabu)
Jam 3 pagi
-Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan (tingkat tiga).
-Kejadian berlaku ketika kebanyakan pelajar lain masih berjaga.
-Tiada jeritan, tiada saksi, dan tiada kamera CCTV disahkan di lokasi.
Jam 8.16 pagi
-Polis menerima laporan berkaitan penemuan pelajar tersebut.
-Laporan menyatakan mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
-Kecederaan dalaman dilaporkan sangat serius.
-Waris dimaklumkan Zara koma, dengan kaki dan tangan patah.

17 Julai 2025 (Khamis)
-Waris membuat keputusan menghentikan bantuan hayat selepas doktor sahkan tiada lagi fungsi otak.
-Laporan polis rasmi dibuat oleh waris kedua yang tiba dari Kuala Lumpur.
-Jenazah Zara disolatkan dan dikebumikan di kampung halaman di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.

18 Julai (Jumaat)
-Pemergian Zara mulai tular di media sosial yang turut mendakwa ada kaitan buli.
-Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di FB menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli yang didakwa berlaku
-Menteri KPM, Fadhlina Sidek dalam hantaran di FB memaklumkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis
-Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengesahkan kejadian.
-Polis keluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut.
-Satu hantaran di media sosial TikTok dipercayai ditulis oleh ibu Zara Qairina meluahkan kekecewaan mengenai apa yang menimpa anaknya.

19 Julai 2025 (Sabtu)
-Noraidah Lamat, 43, (ibu) menyatakan kehilangan Zara Qairina meninggalkan kesan mendalam kepadanya

20 Julai 2025 (Ahad)
-Waris hadir ke IPD Papar untuk membuat laporan tambahan mengenai tindakan pengetua menghalang laporan awal.
-Waris juga menghantar surat rasmi kepada pihak sekolah menuntut penjelasan kejadian

21 Julai 2025 (Isnin)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif telah menziarah Noraidah di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
-Noraidah dalam pada itu mahu tiada sebarang perkara disembunyikan dalam siasatan berhubung insiden yang menimpa Zara Qairina.

24 Julai 2025 (Khamis)
-Gelombang solidariti terhadap Zara Qairina menggunakan tanda pagar #JusticeForZara
-Solidariti itu susulan pendedahan daripada individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga Allahyarham Zara Qairina dan hantaran melalui FB telah dikongsikan oleh pengguna media sosial

25 Julai 2025 (Jumaat)
-KPM beri jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina.

26 Julai 2025 (Sabtu)
– KPM sekali lagi beri jaminan bahawa siasatan berhubung kematian Zara Qairina dijalankan secara telus dan adil.

Sumber – Facebook Nursyafiqah Roslan