Ini reaksi Ziana Zain slepas dipggil SPRM brkenaan rasuah RM22 juta..

“Kalau saya dapat bayaran RM400,000, mungkin saya sudah miliki kereta Mercedes-Benz baharu.”

Demikian kata penyanyi Ziana Zain yang menafikan dakwaan menerima bayaran sehingga RM400,000 daripada syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ziana berkata, sebagai penyanyi yang dilantik sebagai duta syarikat yang terbabit dalam Ops Sky dia tidak berasa namanya terjejas kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Bagi saya tidak (menjejaskan nama) kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penyanyi dan tidak terbabit apa-apa dengan syarikat itu.

ARTIKEL BERKAITAN : SPRM Tak Beku Akaun Bank Ziana Zain & Datuk Jalaluddin, Terima Bayaran Antara RM150K-RM400K

- IKLAN -

“Saya hanya dipilih menjadi duta dan menyanyi untuk lagu syarikat itu sahaja,” katanya dalam satu temu bual bersama Melodi TV3 malam tadi.

Menurut Ziana, dia akur apabila dipanggil SPRM untuk diambil keterangan bagi kes terbabit.

“Saya yakin mereka nak mendapatkan pencerahan. Bagi saya setiap orang menjalankan tugas untuk menyiasat. Jadi saya serahkan kepada mereka untuk buat kerja.

“Mereka (pihak penguasa) hanya menjalankan tugas. Sebagai artis saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama syarikat itu yang sudi menaja konsert solonya tahun lalu, Ziana berkata, dia tidak tahu menahu kerana tawaran itu diperoleh oleh agen persembahan.

“Kami ada ‘promoter’ yang cari penaja konsert. Jadi mereka yang cari penaja untuk konsert ini.

“Sebagai penyanyi apabila sudah jumpa penaja saya hanya menjalankan tugas sebagai penyanyi untuk menjayakan konsert itu,” katanya.

Semalam Ziana hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Turut bersama Ziana dalam pertemuan secara tertutup adalah pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Media melaporkan, ketiga-tiga selebriti itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi dan dibenarkan masuk menerusi pintu belakang.

Terdahulu, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat bagi tujuan promosi.

SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Ops Sky, baru-baru ini.

Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi, termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam.