Rumah Lama Datuk Seri Vida di Besut Jadi ‘Gudang Rezeki’, Penduduk Beratur Ambil Perabot Percuma

BESUT – Suasana di Kampung Batu Tumbuh, di sini, gempar seketika petang Jumaat apabila kediaman usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Vida (DSV) diserbu ratusan penduduk setempat yang mahu mendapatkan barangan rumah percuma.

Menurut Vida – atau nama penuhnya Hasmiza Othman, 54 – semua kelengkapan di rumah pusakanya, Baitul Nurly Jannah, diagihkan secara terbuka kerana masih dalam keadaan baik tetapi tidak lagi digunakan.

“Ada tilam, set katil, sofa, meja makan, pasu bunga… macam-macam ada. Sesiapa yang memerlukan, datanglah ambil – percuma,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di TikTok miliknya pada Khamis malam.

Vida kongsi keadaan penduduk sekitar yang menunggunya.

Datang, pilih, terus bawa pulang

Tepat jam 3.00 petang, laman rumah dua tingkat berwarna putih itu sesak dengan kenderaan. Orang kampung, sebahagiannya membawa lori kecil, kelihatan beratur menunggu giliran untuk memilih perabot.

- IKLAN -

Anak Vida, Cik B (Nur Edlynn Zamileen), 20, melalui InstaStory turut berkongsi keadaan meriah di perkarangan rumah.

“Tak sangka sampai macam bazar, ramainya orang. Alhamdulillah, moga semua barang bermanfaat,” tulis Cik B.

Vida sendiri turun padang menyantuni tetamu, membantu mengasingkan barangan dan memantau urusan agihan supaya berjalan teratur.

‘Rumah lama, fungsi baharu’

Usahawan itu menjelaskan langkah tersebut sebahagian proses mengosongkan banglo berkenaan yang bakal diubah suai menjadi pusat pengajian dan penulisan al-Quran dengan nama Baitul Nurly Jannah – diambil sempena nama arwah anak saudaranya, Nurly Sahira, mangsa nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2013.

“Daripada tersimpan, lebih baik saya sedekahkan. Semoga pahala mengalir kepada arwah Nurly Sahira dan semua yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui media.

Netizen sanjung inisiatif DSV

Di ruang komen TikTok, rata-rata warganet memuji kemurahan hati Vida dan berharap lebih ramai individu berkemampuan mencontohi tindakan sedekah berasaskan keperluan tersebut.

“Bagus, tak semua orang mampu beli perabot baharu. Rezeki penduduk Besut,” tulis seorang pengguna. “Semoga DSV dimurahkan rezeki lagi,” kata yang lain.

Latar singkat

Rumah dua tingkat berkeluasan hampir 7,000 kaki persegi itu dibeli Vida pada 2012 sebagai kediaman percutian untuk keluarga. Ia kini akan menjalani proses renovasi fasa pertama bermula hujung Ogos, sebelum beroperasi sebagai pusat tahfiz wanita pada tahun hadapan.

Sumber – mstar.com.my