Tahniah ! Syed Saddiq berjaya tamatkan renang 4KM di Langkawi

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan renangan sejauh empat kilometer (km) dalam masa dua jam enam minit 28 saat pada Pesta Renang Langkawi (LSF) di Dataran Tanjung Rhu, di sini, hari ini.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik, ketekunannya menghabiskan perlumbaan mendapat sorakan gemuruh daripada lebih 300 penonton yang hadir.

Kategori 4km itu dimenangi Aiman Moosa Rasheed dari Maldives dengan catatan masa 1:06:54s.

Sementara, kesungguhan Ayden Adrean, 8, juga anak kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah, memerah kudrat menamatkan renangan 400 meter (m) dengan catatan 16:21s turut mencuri perhatian penonton.

- IKLAN -

Sepanjang acara berlangsung, Bella Astillah dilihat hadir memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada anak sulungnya di lokasi acara.

Pesta renang berprestij anjuran Tough Gorilla dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu menyaksikan penyertaan seramai 325 peserta dari 18 negara.

Antaranya, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Afrika Selatan, United Kingdom, Indonesia, Amerika Syarikat, Maldives, Lubnan, Perancis, Ireland, Mexico, India, Sepanyol, Colombia, Japan, Filipina dan tuan rumah, Malaysia.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Terbuka bagi jarak 8km, 4km, 2km, 1km dan 400m.

Edisi kali ini turut memperkenalkan kategori khas kanak-kanak yang membolehkan mereka berenang bersama ibu masing-masing.

Bagi kategori Terbuka Lelaki, gelaran juara menjadi milik peserta Malaysia, Harith Aiman Adha Norasli, manakala kategori wanita dimenangi Kim Anderson dari Afrika Selatan.

Pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Perancangan dan Pembangunan), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.

Kredit – Harian Metro