(VIDEO) Hampir 13 Tahun Jadi Ketua Keluarga, Janna Nick Sebak Tinggalkan Malaysia Demi Kejar Cita-Cita

Janna Nick

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Janna Nick, berkongsi sebuah video menyentuh hati yang merakamkan momen-momen terakhirnya bersama keluarga sebelum berangkat untuk menetap sementara di luar negara. Hantaran emosional itu nyata mengundang sebak dalam kalangan peminat dan pengikutnya di media sosial.

Menerusi klip video yang dimuat naik di akaun TikTok rasminya, Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, dilihat meluangkan masa berkualiti bersama ibu, adik-beradik, serta anak-anak saudaranya. Dalam kapsyen yang disertakan, beliau menitipkan pesanan dan meluahkan isi hatinya selepas menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selama hampir 13 tahun.

@jannanickofficial AturanNya yang lebih indah #movingabroad ♬ Rahsia Tuhan – Noh Salleh

“Jaga mama, jaga rumah, adik-adik. Sedar tak sedar dah hampir 13 tahun saya jadi ketua keluarga. Dari adik sekolah rendah, sekarang dah nak habis belajar. Tambah, jaga anak-anak saudara pula,” tulisnya.

Janna menyatakan bahawa sepanjang tempoh itu, fokus utamanya adalah untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan pendidikan yang terbaik untuk keluarga tercinta. Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki yang mencukupi untuk menyara mereka semua.

- IKLAN -

“Saya hanya mahukan mereka ada persekitaran yang selamat dan pembelajaran yang baik… Saya bersyukur, Allah cukupkan rezeki bukan hanya untuk saya tapi untuk semua,” luahnya.

Kini, menurut Janna, sudah tiba masanya untuk beliau memulakan satu fasa baharu dalam hidupnya. Pemergiannya ke luar negara adalah untuk mengejar impian dan cita-cita yang telah lama tertangguh.

“Sekarang, Allah atur satu perjalanan baru untuk saya. Allah nak saya kejar cita-cita yang tertangguh dulu,” jelasnya sambil mendoakan agar keluarganya sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi sepanjang ketiadaannya.

Perkongsian tulus itu ternyata memberi kesan kepada warganet. Ruangan komen dibanjiri dengan kata-kata semangat dan doa agar segala urusan Janna dipermudahkan. Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan kagum dengan pengorbanan pelakon itu terhadap keluarganya.

Janna Nick

Kredit- OhBulan