Polis Indonesia Sahkan Youtuber Ammar Nazhan Reka Cerita Kes Rakan Hilang Dalam Hutan

Youtuber, Ammar Nazhan sebentar tadi menafikan dakwaan telah menipu atau reka cerita berkaitan kes kehilangan salah seorang rakan mereka di sebuah hutan di Bandung, Indonesia.

Terkini, memetik laporan KumparanNews, polis Indonesia mengesahkan bahawa kejadian tersebut hanyalah cerita palsu yang direka semata-mata untuk menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan serta pengikut di media sosial.

Ammar dan rakan-rakan didakwa buat cerita palsu demi viral…

Hasil siasatan polis, Ammar telah mereka cerita bahawa rakan mereka, Eykaa, hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal di Bukit Embah Garut.

Mereka melakukan siaran langsung menerusi TikTok pada Ahad lalu dan sengaja menjadikannya satu cerita sensasi untuk menarik perhatian netizen.

Keterangan Ammar menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung dengan cerita sensasi pempengaruh Malaysia (Eykaa) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal.

Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.- Ujar polis.

Namun, mereka tidak menyedari bahawa Indonesia mempunyai undang-undang ketat terhadap penyebaran berita palsu.

- IKLAN -

Malah, kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa, walaupun dikatakan telah mendapatkan kebenaran daripada pengurus wilayah setempat.

Perlu buat pengakuan dan permohonan maaf…

Selepas didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu, Ammar terpaksa meminta maaf kepada pihak polis. Mereka juga menandatangani kenyataan bertulis serta membuat video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut lagi.

Bagaimanapun, insiden ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang kecewa dengan tindakan mereka menggunakan cerita palsu semata-mata untuk meraih populariti.

Demi meraih kandungan yang tular, ada individu yang sanggup mengada-adakan cerita tanpa mempertimbangkan akibat jangka panjang. Perlu diingat, dalam era digital ini, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja boleh merosakkan reputasi seseorang, tetapi juga berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

Oleh itu, sebelum menghasilkan kandungan, pastikan ia berasaskan fakta dan tidak membawa kesan negatif kepada masyarakat.