Dua Jam Terperangkap Dalam Lif, Pihak Hotel Didakwa Lambat Beri Bantuan

Tular sebuah video di TikTok memaparkan sekeluarga berhadapan detik cemas apabila terperangkap lebih dua jam dalam lif sebuah hotel di Kulim, Kedah.

Lebih membimbangkan, insiden itu turut melibatkan seorang bayi perempuan dan beberapa kanak-kanak.

Dalam video yang dikongsikan, bayi yang kelihatan tidak bermaya itu berjaya dikeluarkan melalui pintu atas siling lif dengan bantuan anggota bomba.

Pihak pengurusan dakwa tak perlu panggil bomba

- IKLAN -

Intan Noratini yang juga ibu kepada bayi itu meluahkan rasa terkilan kerana mendakwa bantuan daripada pihak pengurusan hotel tiba lewat.

Memetik laporan Sinar Harian, Intan Noratini berkata, kejadian bermula apabila dia sekeluarga diundang ke majlis perkahwinan kenalan di aras lima hotel tersebut.

“Kami terperangkap dari jam 9.10 malam hingga 11.20 malam, memang panik dan panas keadaan dalam lif semuanya berpeluh.

“Kemudian, kami hubungi pasukan selenggara hotel yang tertera pada lif dan beritahu mahu telefon pihak bomba.

“Tetapi, mereka kata tak perlu sebab bomba tak ada kena-mengena dengan lif, pelik juga jadi kami tunggu sahaja selepas 30 minit masih tak sampai. Banyak kali tekan butang kecemasan akhirnya ada respon suruh tunggu,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Intan Noratini memberitahu, keadaan menjadi lebih buruk apabila lampu dan kipas dalam lif terpadam beberapa kali difahamkan bagi tujuan baik pulih sistem.

“Kiranya kami duduk dalam gelap, tak ada cahaya atau angin langsung. Jadi, terpaksalah kopak sedikit pintu lif untuk bagi angin masuk.”

Dalam pada itu, dia bersyukur keluarganya selamat dalam kejadian terbabit namun terkilan kerana tidak menerima permohonaan maaf daripada pengurusan hotel.

Sumber: TikTokSinar Harian