Tak sangka ini penerimaan Kak KM selepas ditegur

Usahawan kontroversi, Liana Rosli atau lebih dikenali Kak KM tak terasa hati menerima teguran secara terbuka daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun mengenai kandungan media sosialnya yang dianggap keterlaluan.

Kak KM berkata, dia menerima teguran Ustazah Asma’ Harun, lebih-lebih lagi pakaian anak perempuannya, Nabila yang disifatkan kurang sopan dipakai terutama di bulan Ramadan.

Tegas usahawan berusia 44 tahun, 4, dia tidak pernah berniat untuk tidak menghormati bulan Ramadan.

“Sepanjang Ramadan, setiap reviu yang kami buat di media sosial sememangnya dilakukan dengan memakai pakaian sopan seperti jubah dan baju kurung.
“Mengenai isu anak saya, Nabila, jika Ustazah ingin menegur, itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya. Dia telah menjalankan peranannya untuk memberi teguran.
“Terima kasih, kami menerima teguran itu dengan hati terbuka,” katanya.

Kak KM tak terasa hati

Selain itu, Kak KM menegaskan bahawa dia tidak pernah mengambil hati terhadap teguran yang diberikan oleh Ustazah Asma’, kerana menghormati beliau sebagai seorang ahli agama.

- IKLAN -
“Saya tidak terasa pun jika ustazah menegur, asalkan bukan bersifat hinaan atau kutukan. Lagipun, dia juga manusia seperti kita.
“Ada masanya, sesuatu mungkin kelihatan kurang sesuai di mata orang lain, sebab itu teguran diberikan. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan tidak kisah,” katanya.

Sebelum ini, Ustazah Asma’ Harun meluahkan rasa kecewa dengan penampilan usahawan sensasi, Kak KM sekeluarga yang didakwa tidak menghormati bulan Ramadan.

Beliau meluahkan rasa malu melihat komen tersebut dan berharap keluarga usahawan itu lebih menghormati bulan Ramadan, namun perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya, meskipun menerima kecaman, mereka tetap mempamerkan gaya berpakaian yang mencolok mata secara terbuka.

Walaupun begitu, Ustazah Asma’ tetap mendoakan agar Kak KM dan keluarganya diberikan hidayah untuk menyedari kesilapan mereka.

Ustazah Asma’ Harun Tegur Anak Pempengaruh Berpakaian Seksi Di Bulan Ramadan

Penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun, meluahkan rasa kecewa dengan tindakan anak seorang pempengaruh terkenal yang berpakaian mencolok mata, termasuk menampakkan pusat, terutama dalam bulan Ramadan.

Ustazah Asma’ Harun kecewa dengan pakaian tidak sopan

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menyatakan bahawa individu tersebut seolah-olah berbangga dengan gaya pemakaian yang tidak sopan, walaupun mendapat kecaman daripada masyarakat.

Rupanya tidak, tanpa segan silu sama seperti si ibu, anak pula dipuji berpakaian nampak pusat, sendat, singkat dan ketat. Ditunjukkan secara terbuka, seolah bangga, walaupun semua komen adalah negatif, mereka tambah aktif.

Teguran bukan untuk menghina

Menurut Asma’, teguran ini bukan untuk merendahkan sesiapa, tetapi sebagai usaha untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan.

Lebih mengejutkan, bukan hanya masyarakat Islam yang menegur, tetapi juga saudara bukan Islam yang turut mengecam perbuatan tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbuatan mendedahkan maksiat secara terbuka adalah dosa besar yang lebih berat berbanding dosa yang dilakukan secara sembunyi.

Dosa yang dilakukan dalam bulan haram (mulia) lebih besar, sebagaimana amal kebaikan.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya menjaga adab dan aurat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Teguran itu tanda sayang, bukan untuk menjatuhkan sesiapa. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan keampunan Allah SWT.

Sumber: mStar Online (Ain Norman) , OhMedia