Vellfire Kena Kepung? Yusuf Azmi Tampil Jelaskan Isu Tunggakan, Dedah Apa Sebenarnya Berlaku

Menurut Yusuf Azmi, semasa kejadian kereta berkenaan tidak mempunyai tunggakan dan bayaran kepada pihak bank sudahpun dibuat.

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai penarik kereta didakwa mengepung aktivis terkenal, Yusuf Azmi kerana isu tunggakan bayaran kenderaan.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun TikTok @kakikorekofficial, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 28 Mei lalu di sebuah kawasan perumahan.

Dakwa akaun terbabit, kereta jenis Toyota Vellfire AGH20 itu mempunyai tunggakan bayaran selama empat bulan menyebabkan pihak penarik datang untuk mengambilnya.

- IKLAN -

Kereta diparkir dalam kawasan perumahan berpagar

Susulan penularan video tersebut, Yusuf Azmi tampil memberi penjelasan tentang apa yang berlaku semasa kejadian.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Azmi berkata Vellfire itu digunakan oleh persatuan Semboyan Malaysia dan semasa kejadian kenderaan itu diparkir di dalam kawasan perumahan yang berkawal (guarded area).

“Kita sedia maklum dalam undang-undang penarikan kereta tak boleh masuk rumah yang guarded, ada pengawal keselamatan atau di mana-mana premis yang mempunyai kawalan,” katanya.

“Saya datang nak bincang dengan dia (penarik kereta), yang peliknya, dia tahu saya nak datang (tapi) dengan anggota polis dipanggilnya. Dah bawa ‘satu kampung’ pun panggil polis, dia pandai, dia rekod masa saya marah,” katanya.

Yusuf Azmi dakwa kereta tiada tunggakan semasa hari kejadian

Dakwa Yusuf Azmi lagi, semasa kejadian kereta yang digunakan Semboyan Malaysia berkenaan tidak mempunyai tunggakan dan bayaran kepada pihak bank sudahpun dibuat.

“Soal kereta ini bayar tak bayar itu soal nombor dua, kalau kereta tidak dibayar dua atau tiga bulan memang boleh ditarik tapi ada kaedah penarikan, tak boleh tarik di kawasan perumahan (berkawal).

“Saya datang bagitahu kereta ini sudah bayar, kalau kereta ini tidak dibayar tak akan lah saya letak kereta di jalan raya ini dan depan (pejabat) Semboyahn. Saya difahamkan, pada hari tersebut kereta itu memang tiada tunggakan,” katanya lagi.

Ujar Yusuf Azmi, tindakan yang dilakukannya bukanlah sekadar untuk membela Semboyan Malaysia, sebaliknya untuk membela nasib rakyat di mana isu penarik-penarik kereta yang berlagak samseng ini harus diketengahkan.

“Saya orang yang faham tentang undang-undang, tak mungkin saya bertindak di luar batasan,” jelasnya lagi.

Yusuf Azmi didakwa sengaja langgar kenderaan milik penarik kereta

Terdahulu, tular satu klip rakaman yang memaparkan kekecohan berlaku di antara Yusuf Azmi dan sekumpulan penarik kereta itu.

Dalam video sama, Yusuf Azmi didakwa dengan sengaja melanggar salah satu kenderaan milik penarik kereta terbabit ketika cuba membawa Vellfire itu keluar daripada kawasan perumahan berkenaan.

Video tersebut kemudiannya tular dan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial. Malah ada yang menyelar dan menyifatkan Yusuf Azmi keterlaluan walhal kereta tersebut mempunyai tunggakan.

Kredit- Buzzkini