Nahas Bas UPSI: Pemandu Didakwa, Minta Dibicarakan

- IKLAN -

Pemandu bas yang terbabit nahas ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.

Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Lelaki berusia 39 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat, 1.15 pagi pada 9 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

- IKLAN -

Dia turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh masih mengaku tidak bersalah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 manakala lesen memandu digantung minimum lima tahun.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak sebelum merempuh Perodua Alza di KM 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.

Impak rempuhan itu bas berkenaan terbabas hingga menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Tiada bukti kegagalan sistem brek, tayar

Laporan awal kemalangan bas di Gerik, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Isnin lalu mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar yang menyebabkan kemalangan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Menurutnya, dapatan itu diperoleh melalui laporan awal teknikal yang disediakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Puspakom, keadaan fizikal bagi brek bas, kesemua brek lining dan brek dram bagi semua gandar masih berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Tiada sebarang ketidakseragaman pada brek dram mahupun kenipisan pada brek lining. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Netizen Juga Mahu Ketelusan

Di media sosial, rata-rata netizen turut menyuarakan sokongan kepada keluarga mangsa dan berharap perbicaraan berlangsung dengan adil dan telus.

“15 anak muda mati dalam satu malam. Kalau terbukti cuai, dia kena bertanggungjawab. Nyawa bukan benda main-main,” tulis seorang pengguna X (Twitter).

Kes Akan Diteruskan

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada bulan depan. Sementara itu, keluarga mangsa berharap agar perbicaraan ini memberi mereka sedikit kelegaan selepas berhari-hari dilanda duka.

“Kami akan terus datang ke mahkamah. Selagi belum selesai, luka ini takkan tertutup,” kata seorang waris dengan nada tegas namun bergetar.

Al-Fatihah buat semua mangsa yang terkorban. Semoga kebenaran akan tertegak, dan mereka yang ditinggalkan diberi kekuatan.