“Bas Bergerak Biasa Pun Dia Dah Takut…” – Kakak Arwah Nurly Kongsi Ketakutan Terakhir Adiknya

Kakak arwah Nurly Sahirah (UPSI), Nurul Munirah kongsi perbualan bersama arwah Nurly sebelum kejadian bas di Gerik buat ramai sebak. Mesej terakhir Nurly yang akan selalu dikenang, sedihnya..

GERIK – Suasana masih lagi diselubungi pilu selepas tragedi menyayat hati yang mengorbankan 15 nyawa pelajar dan pengiring UPSI dalam nahas bas di Jalan Simpang Pulai-Gua Musang, Gerik, baru-baru ini.

Antara mangsa yang terkorban ialah Nurly Shahirah, seorang pelajar yang digambarkan sebagai pendiam, baik hati dan mudah disenangi. Namun, apa yang lebih mengundang sebak, apabila kakak arwah mendedahkan bahawa adiknya sebenarnya sering merasa takut ketika menaiki bas.

“Kalau bas bergerak kelajuan biasa pun dia dah takut, apatah lagi kalau laju. Dia memang jenis yang cepat risau dan selalu rasa tak sedap hati bila naik kenderaan besar macam tu,” kata kakak arwah dalam satu perkongsian penuh emosi.

“Dia Macam Dah Tahu…”

(Kredit photo : Buletin TV3)

- IKLAN -

Menurut kakaknya lagi, sebelum tragedi itu berlaku, Nurly sempat berkongsi rasa risau dan kebimbangannya, namun tidak pula disangka itu akan menjadi tanda-tanda terakhir.

“Kami tak sangka itu jadi perjalanan terakhir dia. Bila fikir balik, macam dia dah tahu sesuatu. Tapi kami anggap perasaan takut tu biasa… rupanya itu ‘hint’ yang kami terlepas pandang,” katanya lagi dengan nada sebak.

Keluarga arwah Nurly kini hanya mampu berdoa agar roh anak kesayangan mereka itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, dan diberi kekuatan untuk melalui ujian yang berat ini.

Netizen Sebak, Ramai Luah Simpati

Perkongsian kakak arwah itu turut mengundang reaksi ramai warganet yang rata-ratanya menzahirkan rasa simpati dan menitiskan air mata membaca kisah ketakutan terakhir Nurly.

“Satu perasaan yang buat kita tak senang duduk… mungkin naluri dia kuat, tapi siapa sangka itu petanda terakhir,” tulis seorang netizen.

“Semoga keluarga arwah terus tabah. Kami doakan arwah Nurly ditempatkan di syurga Allah,” komen seorang lagi.

Pemergiannya menghidupkan banyak jiwa, namanya menjadi sebutan di seluruh pelosok negara. Nama Nurly Sahirah yang membawa maksud ‘cahaya terkenal’ kini meniti di bibir warganet. Nurly yang jasadnya ditemui erat memeluk kalam suci Allah, Al-Quran membuka mata dan menyedarkan ramai insan tentang kehebatan Al-Quran.

Menerusi perkongsian di akaun Tiktok Fatihah Sulaini dan juga Portal Harian Metro, telah dikongsikan luahan hati kakak kepada Nurly bernama Nurul Munirah Azman. Kata Munirah, Nurly menghantar pesanan ringkas pada malam kejadian dan mereka bermesej untuk kali terakhir sekitar jam 11 malam selepas bas bertolak dari Jerteh.

Nurly meluahkan rasa takut menaiki bas dan ingin Munirah menemaninya. Dek kerana Munirah sudah mengantuk, dia meminta Nurly untuk menyambung perbualan mereka keesokan harinya. Namun takdir Allah sudah tertulis, tiada lagi mesej daripada Nurly kerana Nurly telah pergi untuk selamanya.

Kata Munirah, Bila Nurly takut, dia akan peluk erat al-Quran, jika bas bergerak kelajuan biasa pun dia takut apatah lagi jika bas bergerak laju. Munirah turut mendedahkan sikap Nurly yang terpuji. Walaupun Nurly yang paling bongsu, namun Nurly sering mengingatkan Munirah tentang menjaga diri dan aurat. Perit dan terpaksa redha pemergian adik tersayang, namun Munirah perlu kuat untuk mengharungi semuanya.

Tidak akan ada lagi pesanan dan teguran daripada Nurly selepas ini yang tinggal hanya kenangan mereka bersama berkongsi suka duka. Sebagai seorang adik, Nurly sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan sentiasa mahu kan saudara kandungnya menjadi muslimah sejati.

Munirah pasti merasai kehilangan adik bongsunya ini dan tiada lagi teman untuk berkongsi cerita dan bersenda tawa. Allah lebih menyayangi Nurly dan perginya Nurly menjadi sebutan dan inspirasi kepada ramai orang. Semoga arwah Nurly tenang di sana dan berbahagia di taman syurga.

 

 

Al-Fatihah buat semua mangsa yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga setiap doa yang dikirim menjadi cahaya buat mereka di alam sana.

Sumber : Tiktok Fatihahsulaini, Portal Harian Metro, FB Buletin TV3