Saya Cipta Aplikasi Ni Sebab Anak Saya Sendiri Pernah Menangis Depan Buku Matematik…

Kasih seorang bapa kadang-kadang mampu melahirkan sesuatu yang luar biasa.

Itulah yang dibuktikan oleh Ungku Ismail, seorang bapa prihatin yang tampil dengan idea unik demi membantu anaknya menguasai kemahiran matematik.

Menerusi temu bual bersama juruhebah radio ERA Sarawak, Ungku Ismail mendedahkan bahawa idea asal tercetusnya pembikinan aplikasi ini semata-mata bagi membantu anaknya membuat latihan Matematik di rumah.

“Mulanya saya buat untuk anak saya sebabnya kita nak latih anak-anak kita ni duduk rumah kena buat latihan. Saja nak bagi dia cergas buat latihan,” ujarnya.

- IKLAN -

Namun menurut beliau, cabaran yang dihadapi dalam menerapkan nilai ini ialah keperluan membeli buku latihan yang banyak. Justeru, beliau mengambil inisiatif membina sendiri satu aplikasi latihan mudah.

“Jadi apa yang saya buat, saya boleh buat video game,” katanya.

Bagi memastikan aplikasi tersebut lebih menarik minat kanak-kanak, Ungku Ismail turut menambah elemen hiburan visual dan bunyian.

- IKLAN -

“Bila dia buat tu, saya ada masuk muzik sikit, graphic animation cantik-cantik sikit,” tambahnya lagi.

Bermula dari keperluan peribadi untuk membantu anak memahami konsep pengiraan asas, Ungku Ismail mengambil inisiatif mencipta sebuah aplikasi pembelajaran yang diberi nama “Power Congak”.

Segalanya bermula apabila beliau menyedari bahawa latihan matematik yang disediakan kepada anak-anak seringkali membosankan dan kurang menarik perhatian mereka.

Daripada sekadar bergantung kepada latihan konvensional, Ungku Ismail melihat ruang untuk menghasilkan sesuatu yang lebih menyeronokkan, interaktif dan mesra kanak-kanak.

Maka terhasillah aplikasi Power Congak, yang menggabungkan unsur permainan dan pembelajaran dalam satu platform yang mudah digunakan.

Aplikasi ini menyediakan pelbagai modul latihan congak merangkumi operasi asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi.

Soalan yang dijana secara rawak memastikan pengguna mendapat variasi cabaran yang sentiasa berubah-ubah.

Lebih menarik, aplikasi ini mengutamakan ketepatan; hanya jawapan yang betul akan diberikan markah, sekaligus melatih disiplin pengguna untuk lebih fokus.

Selain latihan pengiraan, turut dimuatkan adalah soalan berkaitan bacaan jam, pembundaran nombor dan latihan kefahaman ringkas, menjadikannya sebuah platform pembelajaran yang cukup komprehensif.

Sejak dilancarkan, aplikasi Power Congak telah menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 10,000 muat turun di Google Play.

“Nad pula pergi post dekat Instagram dia, orang suka, orang nak, saya komersialkan,” jelas Ungku yang merujuk kepada perkongsian isterinya, Nad Zainal di media sosial.

Ramai ibu bapa memberi maklum balas positif, memuji pendekatan aplikasi ini yang bukan sahaja membantu anak belajar matematik dengan cara lebih menyeronokkan, malah memudahkan mereka memantau kemajuan pembelajaran anak masing-masing.

Bagi ibu bapa yang selama ini buntu mencari kaedah yang sesuai untuk mengukuhkan penguasaan matematik anak, Power Congak ternyata hadir sebagai penyelesaian yang dinanti-nantikan.

Selain menawarkan pengalaman pembelajaran yang menarik, aspek privasi dan keselamatan data pengguna juga diberikan keutamaan. Semua data pengguna disulitkan semasa penghantaran dan tidak dikongsi kepada mana-mana pihak ketiga.

Malah, aplikasi ini tidak mengumpul sebarang maklumat peribadi pengguna, memastikan ia selamat digunakan oleh kanak-kanak.

Bagi menambah keseronokan, Power Congak juga memperkenalkan sistem pengumpulan kredit melalui tontonan iklan. Namun, iklan ini tidak mengganggu sesi pembelajaran kerana ia hanya muncul apabila pengguna ingin menambah kredit, sekaligus memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih lancar.

Tambahnya lagi, aplikasi berkenaan kini dilengkapi dengan permainan mini berkonsepkan aksi.

“Dalam tu pun ada permainan mini, tembak-tembak tetapi masih berkaitan dengan Matematik,” kongsinya lag

Ketika ditanya berkenaan bidang pengajian yang pernah dipelajari beliau, Ungku Ismail memaklumkan bahawa latar belakang pendidikannya tidak berkaitan dengan kemahiran pembangunan permainan video ini.

Coding permainan video ni saya belajar semasa PKP. Saya memang minat permainani video, kita pun cuba belajar kemahiran baru,” jelas beliau.

Kisah Ungku Ismail membuktikan bahawa kasih sayang dan kepedulian seorang bapa mampu mencetuskan inovasi bermanfaat bukan sahaja untuk anak sendiri, malah untuk kanak-kanak lain juga. Power Congak kini menjadi bukti bahawa pembelajaran matematik tidak semestinya kaku dan membosankan, sebaliknya boleh menjadi seronok, mencabar dan penuh interaksi.

Kredit – Siakap Keli