Kilafairy nafi banglo lelong milik Allahyarham Rohana Jalil: “Rumah mama saya jaga, takkan dijual”

KUALA LUMPUR — Pelakon dan penyanyi Kilafairy menepis spekulasi kononnya sebuah banglo di Subang Jaya yang diiklankan untuk lelongan pada 28 Ogos depan adalah milik arwah ibunya, penyanyi legenda Rohana Jalil.

Menurut Kila atau nama penuhnya Syakila Nisha Jangir Khan, 33, alamat serta butiran yang tersebar di media sosial tidak kena‑mengena dengan hartanah keluarga mereka.

“Kaya betul kalau itu rumah saya… alamat pun bukan rumah mama. Rumah arwah hanya satu, saya tinggal dengan papa di situ dan saya tidak akan jual,” katanya ketika dihubungi mStar.

Netizen membuat spekulasi rumah yang bakal dilelong milik arwah Rohana (kanan).

Kila menjelaskan dia dan bapanya, Jahangir Khan, masih menetap di kediaman arwah Rohana di SS18, Subang Jaya. Semua urusan faraid dan penama harta pusaka, katanya, telah diselesaikan mengikut hukum.

- IKLAN -

“Rumah mama ada, kami jaga elok‑elok. Urusan harta pun sudah selesai. Tiada sebarang notis lelong,” tegasnya.

Terdahulu, laman Facebook Selangor Auction Property menyiarkan maklumat lelongan sebuah banglo 2½ tingkat lot sudut di SS18 yang didakwa didaftarkan atas nama seorang penyanyi legenda dan ahli keluarga. Di ruangan komen, segelintir netizen meneka ia milik Allahyarham Rohana, yang meninggal dunia pada 21 Jun 2023 akibat kebocoran usus.

Kila turut menafikan dakwaan arwah ibunya meninggal dunia kerana masalah paru‑paru sebagaimana tercatat dalam iklan lelongan.

Rohana meninggal dunia pada Jun 2023.

“Mama pergi kerana kebocoran usus, bukan paru‑paru. Banyak fakta dalam iklan itu tidak tepat,” ujarnya.

Kilafairy menegaskan dia akan mengambil tindakan sewajarnya jika penulisan berunsur fitnah mengenai aset keluarga berlanjutan.

Sumber – mstar.com.my