Aliff Syukri pecah rekod TikTok Live, raih RM1 juta dalam 2 minit 32 saat

PETALING JAYA, 4 Ogos 2025 – Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menempah sejarah baharu jualan langsung di Malaysia apabila merekodkan pendapatan melebihi RM1 juta di platform TikTok Live hanya dalam 2 minit 32 saat.

Rekod luar biasa itu, yang disahkan wakil Malaysia Book of Records (MBOR) sejurus sesi penstriman berakhir malam Ahad, melayakkan pengasas D’Herbs Holdings itu menerima pengiktirafan “Jualan Terpantas Menerusi TikTok Live” di negara ini.

“Alhamdulillah… setelah pelbagai cabaran, sokongan orang ramai membolehkan saya capai satu impian. Terima kasih kerana percaya pada jenama kami,” kata Aliff, 38, sambil menahan sebak ketika bersiaran langsung di akaun @aliffsyukriterlajaklaris.

Lebih RM1.5 juta keseluruhan

@papalarisbyaa Dato Aliff Syukri menangis kegembiraan.. bagi yang terlepas battle nak dapatkan Bag Samma Denim ni boleh wsp sy oiii3i2344i #aliffsyukri #aliffsyukriterlajaklaris #papalarisbyaa #sammadenim ♬ Piano, sad, touching, majestic, nature, movie – arachang

Menurut pasukan pemasaran syarikat, jumlah kasar yang terhimpun sepanjang penstriman ‒ yang berlangsung kira-kira satu jam ‒ melebihi RM1.5 juta. Item utama yang ditawarkan ialah beg tangan denim edisi khas berharga RM79.90 seunit, dipakej bersama baucar tunai serta hadiah misteri.

- IKLAN -

Potong masa Khairul Aming

Catatan baharu itu mengatasi rekod tidak rasmi terdahulu milik pempengaruh masakan Khairul Aming, yang meraih RM1 juta dalam 3 minit 39 saat pada Februari 2024 menerusi produk Dendeng Nyet Berapi. Meskipun angka jualan Khairul diiktiraf tinggi, pengesahan MBOR ketika itu dibuat bagi kategori berbeza.

Sorakan keluarga & pasukan

Aliff dan isteri teruja kongsi kejayaan bersama.

- IKLAN -

Sesi berkenaan berlangsung di studio peribadi usahawan tersebut di Damansara dengan disaksikan isteri, anak-anak serta lebih 40 kakitangan. Detik papan pemuka e-dagang menunjukkan jualan mencecah RM1 juta disambut dengan tepukan gemuruh dan laungan takbir.

Reaksi warganet

Ruangan komen TikTok Live dibanjiri ucapan tahniah. Sebahagian pengguna menyifatkan kejayaan itu bukti kekuatan jenama tempatan, manakala segelintir lain menggesa Aliff menunaikan janji menyalurkan sebahagian keuntungan kepada badan kebajikan.

Perancangan susulan

Aliff memaklumkan beliau akan menyerahkan laporan jualan terperinci kepada MBOR dalam tempoh 14 hari seperti disyaratkan sebelum menerima sijil rasmi. “Saya juga berikrar menyalurkan sebahagian hasil malam ini kepada rumah anak yatim sebagai tanda syukur,” katanya.

Dengan pencapaian terbaharu ini, Aliff menambah satu lagi koleksi rekod peribadi selepas pernah diiktiraf MBOR pada 2018 bagi “Konvo Lelaki Terbanyak Berkain Pelikat” dan pada 2022 untuk “Video Muzik Paling Banyak Tersenarai Dalam Carian Tempatan”.

Sumber – mstar.com.my