Peguam Ahmad Zaharil Ingatkan: Sembunyi Bukti Dalam Kes Zara Juga Jenayah Berat

Peguam Ahmad Zaharil

KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Dato’ Ahmad Zaharil Muha­iyar, memberi peringatan keras bahawa menyembunyikan atau memusnahkan bukti dalam kes jenayah adalah satu kesalahan berat di sisi undang-undang, bukan sekadar isu pentadbiran.

Beliau merujuk kepada Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi mana-mana individu yang dengan sengaja menyembunyikan atau menghalang bukti jenayah daripada digunakan dalam siasatan.

“Jangan sangka bukan pembunuh, maka bebas”

Menurut Ahmad Zaharil, ramai orang silap faham tentang tanggungjawab undang-undang:

“Ramai sangka, kalau bukan pembuli atau pembunuh, maka tak bersalah. Tapi jika anda tahu ada kes jenayah — dan anda sembunyikan bukti, atau halang siasatan — anda sendiri boleh disabitkan di bawah Seksyen 201.”

Peguam Ahmad Zaharil

Beliau menegaskan, ini termasuk pihak sekolah, guru, warden atau mana-mana individu yang memegang barang bukti seperti pakaian mangsa, telefon bimbit, atau rakaman CCTV tetapi enggan menyerahkannya kepada polis.

- IKLAN -

Sekolah bukan tempat sembunyi kes

“Keadilan tidak boleh dilengahkan. Sekolah bukan tempat sembunyi kes. Tanggungjawab melapor dan membantu siasatan adalah kewajipan semua pihak,” tambahnya.

Apa itu Seksyen 201 Kanun Keseksaan?

  • Kesalahan: Menyembunyikan bukti jenayah atau memberi maklumat palsu untuk melindungi pesalah.

  • Hukuman: Penjara sehingga 7 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Jika jenayah asal melibatkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun.

Konteks kes Zara Qairina

Peringatan ini dibuat susulan kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang menimbulkan persoalan tentang kelewatan laporan siasatan serta kemungkinan wujud barang bukti yang tidak diserahkan.

Dato’ Ahmad Zaharil menggesa pihak berkuasa menyiasat jika terdapat individu yang cuba menutup atau menyembunyikan maklumat penting kerana tindakan itu jelas boleh menghalang keadilan untuk mangsa dan keluarga.

Kredit – FB Ahmad Zaharil