Peguam ‘Kotak Pensil’ Datuk Ahmad Zaharil Alami Serangan Jantung, Kini Dirawat di ICU

Ahmad Zaharil

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal yang dekat di hati rakyat, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang masyhur dengan gelaran ‘Peguam Kotak Pensil’, telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital selepas mengalami serangan jantung.

Berita duka itu disahkan sendiri oleh isteri beliau, Datin Raja Adzfa Wati Raja Adzman, menerusi satu siaran langsung di akaun TikTok peguam itu pada hari ini.

“Ya, Datuk (Ahmad Zaharil) ada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekarang disebabkan serangan jantung,” katanya dalam siaran tersebut.

Ahmad Zaharil

Menerusi video itu, Datuk Ahmad Zaharil kelihatan terlantar di katil hospital. Walaupun dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih cuba berinteraksi dengan pengikut di TikTok, butir percakapannya kurang jelas dan sukar untuk difahami.

- IKLAN -

Sebelum itu, pada malam tadi, Datin Raja Adzfa melalui akaun TikTok peribadinya, ‘Kak Engku Effa’, telah memuat naik satu hantaran memohon doa orang ramai untuk kesembuhan suaminya.

“Kepada sahabat maya saya sekalian, tolong doakan suami saya (Tok Mat) sembuh seperti sedia kala… heart attack (serangan jantung). Anugerahkanlah kesembuhan kepada suamiku ya Allah agar dia boleh terus berbakti kepada orang yang memerlukannya,” tulisnya.

Ahmad Zaharil

- IKLAN -

Beliau memaklumkan bahawa suaminya telah mengalami serangan jantung itu pada tengah hari semalam. Hantaran tersebut dibanjiri lebih 5,000 komen daripada warganet yang rata-ratanya mendoakan agar peguam berjiwa rakyat itu segera sembuh.

Kisah Di Sebalik Gelaran ‘Peguam Kotak Pensil’

Datuk Ahmad Zaharil menjadi sebutan ramai dan mendapat gelaran ‘Peguam Kotak Pensil’ selepas kisah amalan baiknya tular di media sosial pada tahun 2023.

Kisah itu bermula pada tahun 1998 apabila beliau membela seorang wanita India yang didakwa di mahkamah kerana mencuri sebuah kotak pensil berharga RM18. Wanita itu terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup dan mahu menghadiahkan kotak pensil itu kepada anaknya yang cemerlang mendapat tempat pertama di sekolah.

Tersentuh dengan kisah tersebut, Datuk Ahmad Zaharil tampil mewakili wanita itu secara pro bono (percuma) dan berjaya mendapatkan hukuman ringan, sekali gus mengelakkannya daripada dipenjarakan yang boleh menyebabkan anaknya terabai.

Kisah itu menjadi lebih menakjubkan apabila pada tahun 2017, beliau ditegur oleh seorang peguam muda yang rupa-rupanya adalah anak kepada wanita yang pernah dibelanya dahulu. Pertemuan semula itu menjadi bukti bahawa bakti kecil yang ditabur telah mengubah kehidupan sebuah keluarga.

Sumber – Harian Metro & Tiktok @adzfaeffa