Inkues Zara Qairina: Telefon Awam Asrama Ditutup 48 Jam Selepas Insiden, Saksi Dedah Diperintah Ketua Warden

KOTA KINABALU, 10 September 2025 – Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang memasuki hari kelima hari ini, mendedahkan bahawa semua telefon awam di asrama sekolah mangsa telah ditutup selama 48 jam sejurus selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.

Perkara ini disahkan oleh saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 64, seorang pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut.

@malaysiagazetteSeorang pengawal keselamatan berkata, dia menemui Zara Qairina terlentang dalam longkang dengan keadaan tidak sedarkan diri, selepas dimaklumkan seorang pelajar senior yang juga saksi pertama melihat Zara Qairina. Linah Mansoding, 65 tahun berkata, ketika itu dia melihat tengkuk Zara Qairina berdarah.♬ original sound – malaysiagazette

 

@malaysiagazetteEnam buah telefon awam yang berada dalam sekolah Zara Qairina Mahathir ditutup selama 48 jam selepas pelajar itu ditemui dalam longkang. Perkara itu dimaklumkan saksi keenam inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, yang merupakan pengawal keselamatan sekolah.♬ original sound – malaysiagazette

- IKLAN -

Dalam sesi soal jawab di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu mangsa, menyoal saksi mengenai akses komunikasi para pelajar selepas insiden pada 16 Julai 2025 itu.

Linah memberitahu mahkamah bahawa keenam-enam telefon awam di asrama—tiga di Blok A dan tiga di Blok B—telah dimatikan suisnya atas arahan ketua warden asrama.

“Macam ‘public phone’ pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam,” kata Linah.

Apabila ditanya oleh Shahlan mengapa tindakan itu diambil, saksi tersebut memberikan jawapan ringkas: “Sebab budak-budak banyak call ibu bapa mereka.”

Walau bagaimanapun, motif rasmi di sebalik arahan penutupan itu tidak diperincikan lebih lanjut dalam prosiding, dan mahkamah tidak dimaklumkan sama ada ia merupakan satu prosedur biasa di sekolah berkenaan.

Prosiding inkues ini dikendalikan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad.

Mahkamah turut menyaksikan kehadiran penuh barisan peguam yang mewakili semua pihak berkepentingan. Ibu Allahyarham diwakili oleh peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri dan rakan-rakan, manakala bapa mangsa diwakili oleh peguam Sherzali Herza Asli dan pasukannya.

Turut hadir ialah peguam Datuk Ram Singh serta Azhier Farhan Arisin yang mengetuai pasukan peguam berasingan bagi mewakili lima orang remaja yang dituduh dalam kes buli berkaitan Allahyarham.

SOAL JAWAB peguam dengan pengawal keselamatan

Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai 2025 adakah pelajar-pelajar sekolah boleh menghubungi ibu bapa mereka?

Linah: Macam ‘Public phone’ pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam.

Shahlan: ‘Public phone’ di sana ditutup selama dua hari dua malam?

Linah: Sebab budak-budak banyak call ibu bapa mereka.

Shahlan: Sebelum itu Puan ada berapa ‘public phone’ di sana?

Linah: Blok A tiga (telefon awam) blok B tiga (telefon awam)

Shahlan: Macam mana ‘public phone’ ditutup?

Linah: Dikasi mati suiz.

Shahlan: Siapa tutup suiz?

Linah: Ketua warden suruh tutup.

Kredit – TT MalaysiaGazette, BuletinTV3