PDRM Siasat Video Majlis Akikah Pakai Pakaian Ala Diraja, Pempengaruh Terlibat Jadi Tumpuan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video majlis akikah yang tular di media sosial, dimana sebuah keluarga memakai pakaian serba kuning lengkap dengan tengkolok dan gaya seakan-akan istiadat diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, video berkenaan memaparkan sebuah keluarga pempengaruh dan ahli perniagaan mengadakan majlis akikah sambil meniru adat dan protokol kerabat diraja. Susulan itu, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

VIDEO :

@zackzainefer Majlis Akikah Alya & Addykana tema Kesultanan Melayu Melaka #zackzainefer #adykana #puterigunungledang #costume #majlisakikahalyaaddy ♬ Mentera Semerah Padi – M. Nasir

 

View on Threads

 

- IKLAN -

Tambah Datuk M. Kumar, perbuatan tersebut dipercayai menyalahgunakan lambang diraja dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala penggunaan tidak wajar lambang diraja boleh dikenakan denda antara RM1,000.

Video yang menjadi tular itu turut memaparkan anak-anak keluarga itu berpakaian serba kuning dengan tengkolok lengkap, seolah-olah meniru majlis rasmi kerabat diraja. Tindakan berkenaan nyata menimbulkan kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial yang melihatnya sebagai satu penghinaan dan kurangnya rasa hormat terhadap istiadat diraja.

Majlis akikah tersebut turut dihadiri selebriti dan usahawan ternama seperti pelakon Emma Maembong, Zul Huzaimy dan usahawan Kak KM, yang turut menjadi perhatian ramai. Walaupun keluarga pempengaruh ini pernah ditahan polis berkaitan dakwaan kes penipuan sebelum ini, video tersebut menunjukkan mereka tetap meneruskan kehidupan yang mewah.

Tularnya rakaman majlis akikah ini telah menjadi perbualan hangat di media sosial dengan pelbagai komen yang menyindir dan mempertikaikan sikap keluarga pempengaruh tersebut, namun siasatan rasmi oleh pihak berkuasa tetap diteruskan sebagai langkah menjaga maruah dan undang-undang negara.

Sumber – Kosmo