Angeline Tan Dinobat Tokoh Maulidur Rasul, Dedikasi Anugerah Buat Suami Tercinta Sabri Yunus

KUALA LUMPUR – Pelakon Ardini Angeline Tan, 58, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori Saudara Baharu Cemerlang (Mualaf) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M. Majlis penuh barakah yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu menyaksikan anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Angeline Tan
Penerima Anugerah Maulidur Rasul bagi Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf), Ardini Angeline Tan bercakap kepada media selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada Jumaat. Foto Bernama

Dalam reaksinya, Angeline meluahkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai yang paling berharga dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam. Dengan penuh sebak, beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada suaminya, seniman serba boleh Sabri Yunus, yang dianggap sebagai insan terpenting dalam penghijrahannya.

“Kalau bukan sebab Abang Sabri, saya tidak dapat menikmati Islam. Jadi anugerah ini untuk beliau, keluarga saya dan semua yang selalu doakan saya,” ujar Angeline yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.

VIDEO:

@sinar_my Pelakon Angeline Tan hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Saudara Baru Cemerlang) 2025. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berkenaan kepada Angeline Tan pada Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Sumber: @501awani #SINARKongsi #SINARMuzikRetroTerbaik #fyp #angeline #foryoupage ♬ original sound – SINAR

@mbuzzterhangat Pelakon berpengalaman Angeline Tan, 58, menyifatkan Anugerah Maulidur Rasul Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) yang diterimanya sebagai pemangkin semangat untuk terus melakukan kebaikan serta menyebarkan ajaran Islam. Katanya, pengiktirafan ini bukan hanya untuk dirinya semata-mata, tetapi juga ditujukan kepada suami tercinta, Sabri Yunus, serta seisi keluarga. #meloditv3 ♬ original sound – Mbuzz Terhangat


Sementara itu, Sabri Yunus mengaku terkesima dan amat berbangga dengan pencapaian isterinya. Beliau menyifatkan anugerah yang diterima Angeline ini sebagai lebih besar daripada mana-mana anugerah yang pernah diterimanya sendiri.

- IKLAN -

Walaupun Angeline mendedikasikan anugerah itu kepadanya, Sabri dengan rendah diri memulangkan kembali pujian tersebut. Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil usaha Angeline sendiri yang ikhlas mendalami Islam untuk dirinya.

“Saya pulang balik kata-kata itu kepada isteri sebab anugerah ini memang untuk dia. Saya dapat rasakan sejak dia mula ‘convert’, dia belajar untuk diri dia. Usaha yang dibuatnya itu secara tidak langsung beri kesan kepada orang lain,” kata Sabri yang turut hadir memberi sokongan di majlis tersebut.

Angeline Tan
Sabri percaya keikhlasan dan komitmen Angeline mendalami Islam memberi impak kepada insan lain. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Angeline turut berikrar untuk terus menggunakan platform yang ada bagi menyebarkan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat, khususnya kepada golongan bukan Islam, agar salah faham dapat dielakkan dan negara kekal aman.

“Ini betul-betul beri saya semangat. Sejak saya memeluk Islam, itu adalah misi pertama saya. Saya harap ALLAH SWT terus beri saya lebih banyak peluang untuk capai apa yang saya nak selama ini,” katanya.

Majlis tersebut turut meraikan penerima anugerah lain, termasuk pencipta kandungan digital dan usahawan, Khairul Aming, yang menerima Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya.

Sumber – Berita Harian , Sinar Harian & Tiktok