Calon PN menang besar!! dengan 14,489 undi, menewaskan pencabar calon (PH), Dr Joohari

Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Abidin yang lebih mesra dengan panggilan Abang Abidin sebelum ini berjanji akan meneruskan legasi Nor Zamri jika dipilih menggantikan ‘bos’ beliau menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Bakap itu.

Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diperolehi dan menyifatkan ia hasil daripada kerja kuat jentera sepanjang dua minggu berkempen.

Calon PN, Abidin Ismail (dua kanan) meraikan kemenangan.

Terdahulu, Abidin, 56, yang memakai vest Perikatan Nasional dan berseluar hitam hadir ke dewan itu pada 9.30 malam.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Difahamkan sentimen atau isu tempatan terutamanya masalah bekalan air yang berlaku sejak enam tahun lalu menjadi antara faktor kekalahan PH pada PRK Sungai Bakap kali ini.

Rata-rata pengundi yang ditemui sebelum ini meluahkan rasa kesal apabila masalah keperluan asas yang dialami oleh mereka gagal ditangani sebaiknya oleh Kerajaan Negeri dan wakil rakyat PH sebelum ini.

Meskipun kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengumumkan pelan jangka pendek dan panjang serta projek pembangunan yang sedang dilakukan pihak berkaitan seperti yang diumumkan beberapa kali oleh menteri bertanggungjawab sebelum ini, namun ia dilihat sukar diterima oleh penduduk Sungai Bakap.

Mungkin ia disebabkan masalah dihadapi itu telah berlarutan sekian lama tanpa sebarang solusi atau penjelasan yang memuaskan hati mereka.

Disebabkan itu ada diantara mereka beranggapan segala pelan dan projek yang dilakukan kerajaan dianggap sebagai umpan pilihan raya sahaja selain tidak sanggup menerima tempoh penyelesaian yang mengambil masa beberapa tahun untuk selesaikan masalah mereka.

Sebelum ini penganalisis politik menyatakan kedua-dua calon sama ada PH dan PN mempunyai kekuatan masing-masing untuk memenangi kerusi Sungai Bakap.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia berikutan sejarah politik di kawasan berkenaan memperlihatkan kerusi itu bersifat terbuka kerana pernah dimenangi pelbagai parti politik.

“Kawasan ini dinaungi Parlimen Nibong Tebal dan ada tiga parti berbeza yang memerintah tiga DUN di satu kawasan Parlimen, ini menunjukkan bahawa ia mempunyai dinamik politik berbeza dengan tempat lain.

“DUN Sungai Bakap ini kerusi yang terbuka dan kalau dikaji dari awal, tidak ada satu parti politik pun yang menang dengan majoriti lebih 2,500 undian dan dalam sejarah politik kita lihat Barisan Nasional (BN), UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pernah memenangi kerusi tersebut,”katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.