Cantik ayu Bidadari negara, Individu ini dedah saat kali pertama Tun Hasmah bertudung

1. Inilah bidadari negara yang sedang viral. Terpegun saya. Terkesima melihat foto dan video Tun. Cantik, manis dan begitu berseri-seri. Saya menitiskan air mata melihat imej baru Tun Dr Siti Hasmah. Dengan penampilan berhijab siap berstokin lagi. Rasa sebak sungguh. Beliau kelihatan sangat menawan walaupun sudah berusia 99 tahun.

2. Macam tak percaya. Hati saya berbicara sendiri apabila foto dan video Tun Hasmah melintas HP saya.
“Betul ke Tun Hasmah ni?”
“Cantiknya Tun Hasmah bertudung.”
“Masyallah, akhirnya Tun berhijab dengan sempurna. Alhamdulillah.
Terkesan di hati. Diteliti dan diperhati, hati terus berbicara. Sungguh Allah hanya melihat pengakhirannya. Moga Tun Hasmah dan suaminya dirahmati Allah.

3. Saya pasti seluruh rakyat Malaysia juga gembira dengan imej baru Tun. Kata-kata pujian terhadap Tun mewarnai media sosial sehari dua ini. Doa daripada seluruh rakyat sejak sekian lama, pada akhirnya Allah kabulkan pada bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Dan seluruh rakyat bersyukur dan mendoakan agar Tun terus istiqamah dengan tuntutan Islam ini. Sungguh hidayah itu milik Allah. Dan hati kita sangat mudah dibalikkannya. Saatnya tepat. Akhirnya Allah melembutkan hati Tun.

- IKLAN -

4. Itulah wajah kesayangan rakyat Malaysia. Wanita sederhana, tutur katanya sentiasa lemah lembut, tidak pernah sekalipun biacaranya keras atau kasar. Penampilannya sejak dahulu sentiasa sederhana. Senyuman manis sentiasa menghiasi wajahnya. Sifat penyayangnya terserlah. Sifat keibuannya ada di mana-mana. Tidak dibuat-buat. Tidak diada-adakan.

5. Beliau negarawan wanita yang disayangi seluruh rakyat Malaysia. Sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Sekalipun tidak pernah mencampuri urusan negara atau urusan suaminya. Sentiasa setia mendampingi suaminya Tun Dr Mahathir walau apapun ujian yang datang.

6. Sejak berkahwin dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956, beliau setia bersama suaminya. Beliau isteri mithali. Wanita terbilang. Dikagumi rakyat walaupun begitu sederhana. Beliau sangat disenangi oleh semua lapisan rakyat. Masih sihat, masih kuat daya ingatan. Dan terus berbakti. Diberi peluang oleh Allah untuk menikmati usia tua bersama-sama. Mengekalkan cinta kasih dan keutuhan dalam rumahtangga selama lebih 68 tahun. Mereka contoh kepada seluruh rakyat. Dalam usia Tun Dr Mahathir 100 tahun, sementara Tun Dr Hasmah berusia 99 tahun. Mereka meraikan nikmat itu bersama-sama. Dalam tempoh usia yang begitu panjang, mereka berdua adalah insan terpilih.

7. Mari sama-sama kita doakan untuk Tun Dr Siti Hasmah dan suaminya negarawan terbilang Tun Dr Mahathir, agar hidup pasangan ini terus sihat dalam kesejahteraan, dipanjangkan usia dalam keberkatan, diberikan kebahagiaan dalam ketenangan, dicintai Allah dalam keampunan, dilimpahi keamanan dalam kerahmatan. Amin ya Rabbal Alamin.

Oleh : Faridah Mohd Ali