Dikecam jadi ‘pakar’, bekas pelajar PhD basuh netizen salah faham gelaran Tokti

TULAR di media sosial mengenai poster perlantikan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced).

Poster itu menerima kecaman beberapa warganet yang beranggapan tidak bersesuaian apabila gelaran itu diberikan kepada Siti Nurhaliza atau lebih dikenali dengan nama Tokti susulan tidak memiliki akademik yang tinggi.

Bagaimanapun, seorang pengguna, Dima Mazlina Abu Bakri tampil menentang pendapat negatif netizen yang berasa bahawa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya (UM).

“Terbacalah kata-kata sindiran yang kononnya merendahkan martabat UM. Tokti pakar apa? Pakar nyanyian sahaja yang boleh, kata mereka.

“Tahulah UM ni nama besar dalam pendidikan. Tahulah bukan calang-calang orang boleh masuk dan belajar di situ.

“Namun, sebelum memberikan komen, tengok dulu tempat mana yang dinyatakan,” katanya.

Dima menjelaskan bahawa gelaran pakar itu sebenarnya diberikan oleh Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya atau nama singkatannya, UMCCed.

“Dah terang-terang tulis di bahagian bawah UMCCed,” katanya.

Menceritakan pengalaman lama, Dima menjelaskan bahawa UMCCed ialah pusat pendidikan berterusan yang diasaskan oleh Universiti Malaya, salah satu universiti terkemuka di Malaysia.

“UMCced ini macam anak UM tetapi swasta, berbayar.

“Aku pernah mendapatkan bahan untuk kajian PhD aku di UMCced ini. Perpustakaannya besar dan buku banyak,” katanya.

Dima turut berharap agar netizen bersikap adil dengan semua pihak untuk memperoleh sesuatu gelaran.

“Bukan sebab aku peminat penyanyi nombor satu Malaysia ini, tetapi cuba berlaku adillah kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Selain itu, seorang pengguna, Faizal Wada beranggapan bahawa seseorang tidak seharusnya hanya diukur melalui pendidikan yang dimilikinya.

“Nak ukur orang berdasarkan akademik semata tak sesuailah.

“Mungkin Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) dia gred tiga, tetapi bakat dia first class.

“Kau ingat senang ke artis zaman dulu ini nak bertahan zaman sekarang ini. Dia ada sesuatu yang bernilai untuk dikongsikan kepada generasi muda,” katanya.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada dua-dua pihak berhubung isu itu.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.