Doktor lelaki, teman wanita dicekup JAIM selepas enggan buka pintu hampir 20 minit

MELAKA – Sepasang doktor yang dipercayai mempunyai hubungan istimewa ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berdua-duaan di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Semabok Perdana, di sini, petang semalam.

Menurut sumber JAIM, serbuan dilakukan kira-kira pukul 3.43 petang susulan aduan penduduk setempat. Ketibaan pegawai penguat kuasa turut disaksikan imam surau berhampiran, anggota polis serta beberapa penghuni taman perumahan berkenaan.

TONTON VIDEO :

“Pasangan terbabit enggan memberi kerjasama dan bersembunyi hampir 20 minit sebelum membuka pintu,” kata sumber berkenaan.

Apabila pintu akhirnya dibuka, pegawai JAIM menemui seorang lelaki dan seorang wanita di ruang tamu. Pemeriksaan mendapati kedua-duanya bukan mahram dan tiada ahli rumah lain berada di premis tersebut; dua rakan serumah lelaki terbabit dilaporkan tiada di rumah.

- IKLAN -

Dalam proses pemeriksaan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan mempertikai tindakan pegawai JAIM memasuki kediaman yang disewanya, namun pasukan penguat kuasa menegaskan operasi dijalankan mengikut prosedur selepas menerima aduan rasmi.

Kedua-dua individu dibawa ke Pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Setakat petang ini, JAIM belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status siasatan atau tarikh sebutan kes di Mahkamah Syariah.

Sumber – MalaysiaGazette