Inkues Kematian Zara Qairina: Dompet Dijumpai di Blok Akademik, Duit dan IC Masih Hilang

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini menyentuh isu dompet yang didakwa dicuri, namun akhirnya dijumpai di blok akademik sekolah pada 15 Julai lalu. Ketua Warden, Cikgu Azhari Abd Sagap, tampil memberi keterangan berita sebenar di sebalik insiden yang berlaku.

Sesi petang tadi, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu arwah bertanya secara terperinci kepada Ketua Warden di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

VIDEO :

Shahlan memulakan soal jawab, “Tuduhan curi adalah kecurian duit?”

- IKLAN -

Azhari menjawab santai, “Duit, IC dan kad bank, itu yang saya ingat.”

Shahlan: “Berapa tuduhan curi hari itu yang cikgu tahu terhadap Zara?”

Azhari: “Ini sahaja pada 15 Julai itu.”

Shahlan terus mencungkil maklumat, “Tidak ada dompet, IC atau duit dijumpai?”

Azhari menjelaskan, “Dompet. Kita tahu ada mengadu dengan ketua bilik, tapi dompetnya sebenarnya sudah dijumpai.”

Shahlan bertanya lanjut, “Di mana?”

Azhari: “Di blok akademik, bangunan sekolah, cuma belum diserah kepada dia pada waktu malam itu, yang pasal pengadu kepada ketua bilik.”

Shahlan: “Siapa jumpa dompet itu?”

Azhari: “Pelajar (senior) pada petang 15 Julai, cuma belum diserah kepada pemiliknya pada malam itu.”

Shahlan: “Maksudnya apa yang Zara buat, iaitu dengan bersumpah wallahi dia tidak curi dompet itu, betullah?”

Azhari mengiyakan, “Berdasarkan pengakuannya, iya. Cuma dompet itu, maksudnya duit tidak ada.”

Shahlan: “Tiada benda lain dijumpai di loker atau beg Zara oleh ahli dorm (bilik asrama)?”

Azhari ringkas menjawab, “Yang saya tahu itu sahaja.”

Azhari turut mengesahkan bahawa tiada duit dan IC dijumpai dalam almari di bilik asrama arwah Zara Qairina.

Peguam Shahlan kemudian bertanya lagi sama ada terdapat laporan kepada warden mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan arwah.

Azhari dengan nada jujur menjawab, “Tiada laporan kepada warden.”

Pasukan peguam mewakili Noridah Lamat dilihat keluar dari lobi Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas prosiding hari kelapan inkues kematian Zara Qairina, hari ini. – Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Beliau juga bersetuju apabila Shahlan bertanya sama ada sepatutnya kes seperti itu dilaporkan kepada warden untuk siasatan dan bukan diambil tindakan oleh ketua bilik atau pelajar senior: “Sepatutnya ya, perlu dilapor kepada warden.”

Perkembangan kes ini dipantau rapat oleh semua pihak dan setiap perincian inkues membantu merungkai punca sebenar kejadian. Sesi soal jawab ini memperlihatkan usaha serius mencari keadilan untuk Zara Qairina, dengan semua dialog prosiding dimasukkan untuk memberi gambaran jelas situasi sebenar di asrama pada hari kejadian.

Sumber: Berita Harian, Buletin RTM, Metro.