Inkues Zara Qairina: Peguam Mohon Pakar Psikiatri Forensik Dilibatkan Untuk Nilai Keadaan Mental Mangsa

Zara Qairina

KOTA KINABALU, 12 September 2025 – Mahkamah Koroner yang menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini mendengar permohonan agar seorang pakar psikiatri forensik dilibatkan bagi menilai keadaan mental mangsa sebelum insiden tragegi itu berlaku.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang remaja yang dituduh dalam kes ini. Menurut beliau, penilaian psikologi adalah kritikal untuk memahami mengapa Zara Qairina berada di koridor bangunan asrama sekolahnya pada jam 3 pagi, waktu kejadian.

Zara Qairina

“Persoalan utama ialah apakah keadaan mental Zara pada masa itu dan mengapa arwah berada di koridor pada masa itu. Ini memerlukan kepakaran psikiatri forensik, bukan sekadar penilaian fizikal,” tegas Ram Singh ketika ditemui media selepas prosiding.

Beliau berhujah bahawa keterangan saksi pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, adalah terhad kepada aspek kecederaan fizikal dan kesan jatuhan sahaja, dan tidak merangkumi keadaan emosi atau tekanan yang mungkin dihadapi oleh mangsa.

- IKLAN -

Permohonan itu turut disokong oleh peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina, yang menekankan pentingnya siasatan merangkumi semua sudut bagi mendapatkan gambaran penuh insiden tersebut.

Koroner Amir Shah Amir Hassan mengambil maklum permohonan itu dan menangguhkan keputusannya untuk tindakan lanjut.

 

Simulasi Jatuh Guna Patung Dijalankan

 

@seeknowdaily Update Simulasi Zara Qairina #justiceforzara #malaysia #sabah #suararakyat #kerajaanperpaduan ♬ Suspense – Gold-Tiger

 

Prosiding pada hari ini turut menyaksikan satu sesi simulasi dijalankan di mahkamah menggunakan tiga patung bagi menggambarkan tiga kemungkinan cara arwah jatuh dari bangunan asrama.

Tiga senario yang diuji adalah:

  1. Patung ditolak dari belakang.
  2. Patung dijatuhkan dalam keadaan berdiri dari birai balkoni.
  3. Patung ‘melompat’ dari balkoni.

Dalam keterangannya, Dr Jessie Hiu menjelaskan bahawa corak kecederaan yang dialami oleh Zara Qairina adalah paling konsisten dengan senario kedua, iaitu jatuh dalam keadaan berdiri. Beliau mengesahkan bahawa kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki mangsa adalah selari dengan hipotesis jatuh dari tempat tinggi dalam posisi tersebut.

Dr Jessie turut menegaskan bahawa keterangan dan laporan yang disediakannya adalah berdasarkan kepakaran perubatan semata-mata dan dibuat tanpa sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak luar.

Sumber – Berita Harian