Tiga anak keluar beli aiskrim maut terbabit kemalangan, bapa akui ujian terlalu berat

Tiga anak keluar beli aiskrim maut terbabit kemalangan, bapa akui ujian terlalu berat

Sukar bagi seorang bapa menerima hakikat bahawa tiga daripada lima anaknya meninggal dunia apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 7 Jalan Benta/Lamir, Kampung Langgar, Pekan tengah hari semalam.

Menurut laporan Harian Metro, Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman berkata, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, teringin menikmati aiskrim sebelum keluar bersama abang mereka Nik Ikram Idwan, 15.

“Saya seolah tidak percaya apabila isteri menghubungi memberitahu tiga anak kami maut dalam kemalangan, namun apabila melihat gambar mereka, hati saya begitu sayu.
“Terlalu berat untuk menerima takdir ini namun saya reda. Ini ujian berat perlu saya dan isteri terima.
“Dalam sekelip mata tiga daripada lima anak saya meninggalkan kami tanpa disangka, terlalu berat ujian yang terpaksa saya dan isteri terima,” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Pekan hari ini.

Bercerita lanjut, bapa berusia 41 tahun itu mengakui agak terkilan kerana tidak sempat membantu Nik Ikram Idwan meneruskan persekolahan selepas berpindah ke kampung tersebut pada Disember lalu.

Nik Mohd Khairul Hisyam berkata, arwah anaknya itu sudah melakukan persiapan bagi meneruskan persekolahan ke tingkatan tiga tetapi hajatnya tidak kesampaian.

“Kejadian ini adalah sejarah hitam dalam hidup saya sekeluarga, terlalu sukar untuk diterima,” ujarnya.
Terdahulu, tiga beradik itu maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang mereka terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang datang dari arah hadapan.

Rata-rata netizen tumpang simpati terhadap Nik Mohd Khairul Hisyam atas kehilangan tiga orang anak serentak selain mendoakan dia serta isteri Nur Baizura Mustaffa, 34, tabah menerima ujian Allah SWT.

Salam takziah kepada keluarga mangsa

Moga tabah dan reda atas pemergian

Sumber: Harian Metro (Mohd Rafi Mamat), Facebook Misi Rakyat Pekan Official & Fakhruddin Ariff

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*