Simpanan KWSP Puan Afiza Kosong Sejak 2016, Keluarga Terkejut – “Rupanya Kami Terlewat 10 Tahun”

PETALING JAYA – Hasrat keluarga bekas pramugari, Afiza Awang, 50, untuk menjejak keberadaannya sebelum tarikh pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ternyata sia-sia apabila mereka mendapati semua wang persaraan wanita itu sudah lesap sejak lapan tahun lalu.

Menantu Afiza, Omar Rizal, memaklumkan pemeriksaan di pejabat KWSP Petaling Jaya semalam mendedahkan akaun simpanan berkenaan telah “kosong” seawal 2016. Ketika itu Afiza baru setahun ditempatkan di sebuah pusat jagaan atas arahan suami yang dikatakan mengasingkannya daripada dunia luar sejak 2015.

“Kami ke KWSP bimbang duit Mummy dipergunakan selepas beliau layak mengeluarkannya pada 1 Julai ini. Namun pegawai memaklumkan baki sudah sifar; semua pengeluaran dibuat pada 2016. Kami ‘terlewat’ 10 tahun,” kata Omar melalui Instagram.

Keadaan menjadi lebih membingungkan kerana Afiza berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) berikutan serangan strok, sekali gus membolehkan pengeluaran penuh KWSP tanpa had umur dengan syarat wakil kuasa sah. “Segala dokumen pada kertas memang tampak sah, tapi siapa yang sebenarnya mengawal afidavit dan tandatangan?,” soal Omar.

Didakwa diasingkan dan dipaksa tandatangan borang poligami

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Omar H. Rizal (@omag0d)

- IKLAN -

Menurut anak sulung mangsa, Iera Omar, ibunya bukan sahaja disembunyikan, malah didakwa pernah dipaksa menandatangani borang kebenaran poligami apabila suami mahu berkahwin lagi. Difahamkan lelaki berkenaan kemudian tinggal serumah bersama Afiza dan isteri baharunya, seorang jururawat penjaga.

Sepanjang sembilan tahun ditempatkan di pusat jagaan, Afiza didakwa dilarang menggunakan telefon, tidak dibenarkan dilawati keluarga, malah hanya diberikan lebihan makanan selepas penghuni lain selesai makan. Anak-anak mendakwa pernah mengalami kekasaran fizikal ketika cuba mengambil ibu mereka pulang.

“Saya lari dari rumah pada usia 18 tahun untuk jaga Mama, tetapi dilarang menziarahinya. Anak mana sanggup tengok mak diperlakukan begitu,” luah Iera.

Keluarga buntu, rayu orang ramai bantu jejaki

Sejak Puan Afiza ‘dibawa pergi’ pada awal Jun lalu, lokasi sebenar beliau tidak diketahui. Keluarga telah membuat laporan polis dan menggunakan media sosial bagi mendapatkan petunjuk. Mereka bimbang kesihatan Afiza yang kian merosot serta kemungkinan wujud penyalahgunaan aset selepas akaun KWSP didapati kosong.

“Kami cuma mahu pastikan keselamatan Mama dan haknya terpelihara. Jika sesiapa mempunyai maklumat, hubungi kami atau balai polis terdekat,” rayu Omar.

Sehingga berita ini ditulis, pihak suami belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Polis juga masih meneruskan siasatan berhubung dakwaan pengasingan dan pengeluaran dana KWSP tanpa pengetahuan keluarga.

Sumber – IG omag0d