Bekas pramugari dipercayai ‘disorok’, keluarga bimbang suami salah guna simpanan KWSP

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dikenali sebagai Afiza Awang, 50, yang pernah bertugas sebagai pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan, didakwa hilang kontak sepenuhnya dengan ahli keluarga selepas dikatakan “dibawa” suaminya ke lokasi tidak diketahui sejak awal Jun lalu.

Anak sulung mangsa, Iera Omar, memaklumkan di Instagram bahawa ibunya ditempatkan di sebuah pusat jagaan swasta sejak 2015 atas arahan suami dan dilarang menerima kunjungan keluarga atau rakan. Telefon bimbit Afiza turut dirampas, menyebabkan beliau terputus hubungan dengan dunia luar hampir satu dekad.

“Sejak umur 18 tahun saya cuba ‘selamatkan’ Mummy, tetapi bapa tidak benarkan sesiapa menjenguk. Kami usaha mencari, namun masih gagal,” tulis Iera yang kini berusia 26 tahun.

Dakwaan paksaan tandatangan borang poligami

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Omar H. Rizal (@omag0d)

Menurut Iera, konflik bermula apabila si suami menyatakan hasrat berpoligami sekitar 2015. Afiza didakwa dipaksa menandatangani borang kebenaran di Pejabat Agama walaupun tidak bersetuju. Selepas insiden berkenaan, wanita itu mula diasingkan di rumah jagaan serta bergantung sepenuhnya kepada bantuan penjaga.

- IKLAN -

Aset dan simpanan dikawal pasangan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Omar H. Rizal (@omag0d)

Afiza turut mendakwa tidak mengetahui status kewangan sendiri, termasuk akaun bank dan simpanan pencen. Keluarga bimbang kerana bermula 1 Ogos 2025 mangsa layak mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 50 tahun, sekali gus berisiko disalah guna pihak tertentu.

“Ibu hanya menjawab, ‘Saya tak tahu di mana duit saya, tapi saya ada duit’, ketika kami bertanya tentang kewangan,” kata Iera.

Laporan polis menyusul

Keluarga sudah mendapatkan khidmat peguam dan merancang membuat laporan polis serta permohonan habeas corpus bagi mengesan lokasi Afiza. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 017-388 xxxx (Iera).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta KWSP juga akan dihubungi bagi memantau sebarang transaksi mencurigakan melibatkan akaun mangsa.

Sumber – IG omag0d & ieraomar