“Kerinduan Terubat” — Bapa Eda Ezrin Syukur Anak Pulang, Keluarga Tunggu Di Balai Polis Rantau Panjang

PASIR MAS — Bapa kepada penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin (Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail), Wan Ismail Wan Yusuf, 52, menzahirkan rasa syukur atas kepulangan anaknya ke tanah air selepas dibebaskan oleh mahkamah di Thailand, hari ini.

Alhamdulillah, akhirnya kerinduan terhadap Eda terubat juga dari hati seorang ayah. Saya hanya mahu bersyukur kepada Allah. Kalau dia bersalah, hukumlah saya sebagai ayah. Tapi kalau dia tak bersalah, kembalikanlah dia kepada kami. Biarpun jauh, saya dan ibunya tak pernah putus berdoa. Kami tak mahu kehilangan anak, kami hanya mahu dia diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Balai Polis Rantau Panjang, malam ini.

Tinjauan di lokasi mendapati ahli keluarga turut menanti proses pelepasan Eda yang ketika itu sedang diambil keterangan oleh polis.

Terdahulu, Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda, suaminya dan empat individu lain kira-kira 11 pagi waktu Thailand (12 tengah hari waktu Malaysia) selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi meneruskan rayuan terhadap keputusan sebelum ini. Permohonan lanjutan masa untuk mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak mahkamah pada Rabu.

- IKLAN -

Keenam-enam mereka ditahan pada 1 November tahun lalu atas dakwaan memiliki 6,059 pil yaba. Selepas urusan dokumentasi, Eda dan rakannya Nur Aida dibawa keluar dari Sungai Golok, Narathiwat, menaiki van imigresen pada kira-kira 7 malam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia di Rantau Panjang.

Sumber – Hmetro