Lima beradik yatim piatu ibu bapa maut elak babi hutan melintas
Pasangan suami isteri maut selepas motosikal jenis Duke KTM dinaiki mereka terbabas merempuh tiang elektrik apabila cuba mengelak seekor babi hutan melintas di jalan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini pada Khamis.
Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, dan isteri, Suhana Othman, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan juga di beberapa bahagian badan lain.
Anak sulung pasangan, Fatin Hanani, 23, berkata, dia pada awalnya tidak percaya kejadian yang menimpa ibu bapanya semasa anggota polis hadir memaklumkan perkara tersebut di rumah sewa mereka di Taman Pahlawan, di sini.
“Selepas anggota polis menunjukkan kad pengenalan kedua orang tua saya, baru saya percaya dan terus memeluk empat adik lain dan menangis.
“Polis bawa kami ke lokasi kejadian dan terkejut melihat tubuh bapa di bawah motosikal manakala ibu terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya,” katanya.
Menurut pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu, dia bersama adik-adiknya, Aida Batrisya,17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, kini hilang tempat bergantung.
Sementara itu, anak kedua pasangan, Aida Batrisya berkata, mereka tidak menyangka akan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.
Menurutnya, sebelum kejadian, bapanya mengadu lapar dan mengajak ibu menemaninya untuk ke kedai dan dia tidak menyangka mereka akan terlibat dalam kemalangan.
“Buat masa sekarang, saya dan kakak serta dibantu bapa dan ibu saudara baru sahaja menyelesaikan pengebumian orang tua kami dan belum memikirkan untuk tinggal di mana selepas ini.
“Kemungkinan besar kami akan tinggal di rumah yang dibeli ibu dan sekarang didiami nenek di Taman Kempas,” katanya yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar tersebut.
Jenazah pengurus jualan bersama isterinya itu selamat dikebumikan satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Merbok pada petang Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.