Makcik Kemboja Dan Anak Di Arah Pulang Ke Negara Asal? Ini Laporan Dari Ketua Polis Melaka

Peniaga wanita asal Kemboja dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaakob, 49, yang mencetuskan kontroversi dengan mendakwa orang Melayu malas menerusi video tular bulan lalu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam satu kenyataan berkata pemilik perniagaan di Johor Bahru, Johor itu akan dituduh mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Anak lelakinya Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, pula akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata kertas siasatan kes berkenaan sudah diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri dan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara adalah untuk mendakwa kedua-dua individu terbabit pada esok.

“Wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan manakala anak lelakinya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya dalam kenyataan itu sambil menambah siasatan berkaitan kes itu telah dirujuk ke pejabat Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (UJAKA), Pejabat Peguam Negara pada semalam.

Kes berkenaan akan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

Media sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya.

Dalam siasatan kes itu, polis turut menyoal siasat dan merakam keterangan 14 saksi lain yang boleh membantu siasatan lain selain Mariyah.

Pada 27 November lalu, usahawan berpangkalan di Johor Bahru itu membuat permohonan maaf dalam sidang media susulan video tular berhubung kenyataannya.

Sebelum itu tular rakaman video di media sosial menunjukkan seorang wanita yang mengaku asal Kemboja, tetapi sudah lama bermastautin di negara ini sedang mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan, menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf, disusuli permohonan maaf yang diulang pada hantaran berasingan.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*