(Video) Sathia reda jalani pembedahan potong ibu jari kaki kanan malam ini

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak Datuk Sathia Periasamy, 61, bakal menjalani pembedahan memotong ibu jari kaki kanannya di Hospital Ampang, jam 7.00 malam ini.

Menurut Sathia, beliau dimasukkan ke wad sejak Isnin selepas mengalami kesakitan mengejut pada kaki kanan sebelum doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman yang perlu segera dibendung.

“Empat hari saya ditahan di hospital. Doktor putuskan potong ibu jari bagi elak jangkitan merebak. Dua hari ini saya berpuasa, hanya guna drip.
“Jangan risau, saya masih sihat… kecil saja halnya,” katanya ketika dihubungi.

Sathia memaklumkan dia kini berada dalam keadaan baik.

Tidak pasti punca jangkitan

Sathia berkata beliau tidak mengetahui punca sebenar jangkitan. Beliau mengakui menghidap diabetes dan beberapa penyakit lain yang mungkin mempercepatkan komplikasi.

“Tiba-tiba sakit kuat, saya terus ke hospital. Memang saya ada kencing manis dan macam-macam penyakit ‘orang tua’… jadi saya terima dengan reda,” jelasnya.

Kerjaya lakonan tidak terjejas

Sathia kini dirawat di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

- IKLAN -

Pelakon filem Baik Punya Cilok itu menegaskan kehilangan ibu jari tidak akan menjejaskan rutin harian mahupun kerjaya seni.

“Saya tak takut hilang ibu jari. Insya-Allah boleh berjalan, boleh bekerja. Selepas sembuh saya kembali ke set,” katanya sambil memohon doa agar pembedahan berjalan lancar.

Sokongan rakan dan peminat

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ERA – Muzik Hit Terkini (@era.je)

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang melawat Sathia sebelum ini memaklumkan pembedahan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan jangkitan serius.

Orang ramai dan rakan industri turut menitipkan doa di media sosial agar pelakon veteran itu dipermudah urusan dan segera pulih.

Sumber – mstar.com.my