“Saya tak lari, tak kan nak buat video pada semua..” Azlan dedah brg emas RM20k

“Ada masalah jadi saya pergi selesaikan dahulu..takkan setiap kali selesai (masalah) nak buat video untuk tunjuk kepada semua?” Begitu reaksi Mohd Azlan Ishak, 35, lelaki tular sebelum ini kerana membawa Mohd Aariz Zafran, bayi lelaki berusia 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik menaiki motosikal ketika diminta mengulas dakwaan dia menghilangkan diri.

Menurut Mohd Azlan, tiada sebab untuknya menghilangkan diri kerana ada ketikanya dia tiada di rumah bagi menguruskan hal di luar, salah satunya ke pejabat agama Islam bagi menyelesaikan urusan perkahwinan.

“Sebelum ini tak berkemampuan kerana dahulukan belanja anak tapi kini ada kesempatan jadi dapatlah saya uruskan hal perkahwinan.

“Saya tak lari ke mana pun kerana ada saja di sini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia menerima RM200,000 selepas kisahnya tular, Mohd Azlan berkata, dia sendiri tidak tahu daripada mana datangnya jumlah seperti dinyatakan itu.

“Saya pun tak periksa lagi akaun bank, buat apa periksa kerana duit sumbangan orang ramai masih ada pada tangan jadi gunakan yang itu dulu.

“Bukan nak menyombong cuma sebelum ini ada RM50 dalam tangan pun cukup dan sekarang lebih daripada itu jadi syukur Alhamdulillah.

“Tapi semoga apa mereka sebutkan (terima RM200,000) itu dimakbulkan. Mungkin itu doa mereka dan rezeki anak saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan menafikan dakwaan pasangannya, Norhidayu Halim, 35, membeli barangan kemas dengan harga mencecah RM20,000.

Katanya, ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan individu terbabit sepatutnya bertanya dengannya terlebih dulu bagi mendapatkan kepastian sebelum menyebarkan maklumat salah.

“Mana bukti jika ada (beli barangan kemas RM20,000)? Cincin sebentuk RM800 adalah..itu pun nak buat kahwin dan bakal emak mentua yang belikan, siap ada resit.

“Jadi, saya pinta orang di luar sana jangan salahkan seseorang tanpa usul periksa kerana sebaiknya tanya depan-depan tanpa buat andaian sendiri.

“Setakat ini, ada yang sudah datang jumpa saya mohon maaf sebab saya buat laporan polis berhubung isu beli barangan kemas RM20,000.

“Ikut hati nak saja bawa mereka yang berkenaan ke mahkamah tapi tak sampai hati kerana saya pun pernah kesempitan wang jadi maafkan. Lagipun, saya juga ada hati dan perasaan,” katanya yang juga memohon ampun kepada Allah SWT atas kesilapan masa silamnya.

Laporan kisah tular Mohd Azlan dan Norhidayu Halim, 35, kerana membawa Mohd Aariz Zafran yang berumur 11 bulan menaiki motosikal dengan memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ke hospital.

Kepayahan dilalui pasangan itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pelbagai dakwaan timbul selepas kisah mereka tular salah satunya pendedahan Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Muslim mengenai status Mohd Azlan dan pasangan yang bukan suami isteri sah.

Hari ini, Muhammad Hazamer Mualim berkata, Mohd Azlan dan bakal bapa mentuanya hadir ke pejabatnya di masjid berkenaan 3 petang tadi.

Katanya, lelaki itu datang membawa dokumen lengkap untuk mengisi borang pernikahan bersama pasangannya.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.