Sentiasa Ada: Amir Raja Lawak dedah identiti yang terawal hulur bantuan

Pelawak Amir Raja Lawak mendedahkan beberapa rakan industri tampil bertanya khabar dan menghulurkan bantuan ketika dia berdepan masalah kewangan bagi menampung rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.

Menerusi perkongsian di Instagram, Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi berkata sokongan itu hadir tanpa paksaan—sekadar selepas mereka mengetahui keadaan sebenar. Antara yang disebut adalah Zizan Razak, Mamat Sepah dan aktivis automotif Lando Zawawi.

“Alhamdulillah, ada saja yang bertanya khabar. Mamat Sepah pun tanya, Lando pun awal-awal lagi telefon. Belum habis saya terangkan, dia terus minta nombor akaun,” tulisnya.

Amir turut memuat naik tangkap layar mesej bersama Zizan yang dilihat terus meminta nombor akaun untuk menghulurkan bantuan. Jelas Amir, beliau pada awalnya maklum Zizan tidak mahu perkara tersebut dihebahkan, namun memilih berkongsi sebagai tanda penghargaan.

- IKLAN -

“Saya nak orang tahu dia ada bersama saya, dan saya saksi Zizan orang yang baik hati,” katanya sambil mendoakan kesejahteraan semua yang membantu.

Terdahulu, Amir memaklumkan masih menunggu bayaran tertunggak daripada sebuah stesen televisyen yang didakwa perlu bagi menampung kos rawatan bapanya. Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan polis dan berkali-kali menggesa agar bayaran dilunaskan.

Amir menzahirkan terima kasih kepada rakan artis, produser dan kru belakang tabir yang mengambil cakna, sambil menyebut hanya sebahagian nama disebut kerana sering kelihatan aktif berhubung dengannya.

Sumber: Instagram @amirrajalawak