Sophia Albarakbah kesal kisah ‘orang ketiga’ diungkit lagi: “Allah ampunkan hamba-Nya, mengapa manusia terus menghukum?”

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pelakon Sophia Albarakbah meluahkan rasa kecewa apabila episod lama yang mengaitkan dirinya sebagai pihak ketiga rumah tangga Bella Astillah dan Aliff Aziz kembali dijadikan bahan kecaman warganet.

Dalam satu balasan komen di Instagram lewat malam tadi, Sophia – atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32 – menegaskan insiden tersebut sudah lama berlalu dan beliau sudahpun memohon maaf kepada pihak terlibat.

“Dah berapa tahun kes ini. Kalau asyik nak ungkit, sampai bila pun tak selesai,” tulisnya.
“Sedangkan Allah boleh ampunkan hamba-Nya. Awak, sekerdil dan sejijik manusia… kenapa masih angkuh?”

Sophia membalas komen netizen.

Serangan susulan insiden pentas AMT 2025

Media sosial Sophia dibanjiri komen negatif selepas momen ‘janggal’ di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT 2025), Ahad lalu. Ketika mengumumkan pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat, Bella selaku penyampai trofi menyebut: “Yang ini saya kenal sangat… Sophia,” sebelum berpaling dan menyerahkan anugerah tanpa berjabat tangan. Detik itu segera tular dan mengundang kembali kisah kontroversi Januari 2023.

- IKLAN -
@f8buzz Yang ni saya kenal, kenal sangat 😎🔥 Bella Astillah menyampaikan Anugerah Selebriti Feminin Terhangat malam ini di Anugerah Melodi Terhangat 2025 kepada Sophia Albarakbah. #f8buzzhiburan #anugerahmeloditerhangat #amt2025 #bellaastillah #sophiaalbarakbah ♬ original sound – F8Buzz

Momen yang dikatakan janggan di antara Sophia dan Bella.

Kisah lama berulang

Pada awal 2023, Bella mendakwa Sophia mendekati suaminya, Aliff Aziz, ketika mereka sama-sama membintangi sebuah drama. Sophia kemudian menghantar mesej permohonan maaf, namun reputasinya terus dipersoal di ruang maya.

Bella dan Aliff berkahwin pada 2016, bercerai talak satu kali kedua pada 13 Jun 2024, dan mempunyai dua anak: Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

Minta ruang dan peluang

Sophia menegaskan beliau tidak pernah diberi “peluang kedua” oleh segelintir netizen yang terus melemparkan hinaan.

“Saya manusia biasa, sudah belajar daripada kesilapan,” katanya. “Tolong hentikan kebencian.”

Setakat pagi ini, Bella belum memberi sebarang kenyataan lanjut berhubung balasan Sophia. Pihak pengurusan AMT 2025 juga tidak mengulas mengenai insiden di pentas berkenaan.

Sumber – mstar.com.my