Baru selesai proses pengebumian isteri, Suami Rohana Jalil dedahkan hal ini

SUAMI kepada Rohana Jalil iaitu Jahangir Khan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuai ketika melakukan pembedahan bariatrik terhadap Allahyarham yang didakwa menjadi penyebab kematiannya.

Jahangir, 66, bagaimanapun berkata, terdapat beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan bagi menuntut keadilan.

“Kalau ikutkan hati memang nak ambil tindakan tetapi buat masa sekarang ini masih belum tahu lagi sebab perlu berbincang dari banyak sudut.

“Kami pun perlu mencari individu yang pakar dalam bidang berkenaan. Kita ikut langkah demi langkah,” katanya kepada mStar.

Jahangir berkongsi mengenai perkara itu selepas pengebumian Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya pada Rabu.

Rohana menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.33 malam Selasa akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

Dalam temu bual bersama mStar sebelum ini, pengurus kepada Rohana dikenali sebagai Jepun mendakwa antara punca penyanyi itu mengalami ujian berat itu adalah disebabkan pembedahan bariatrik yang dilakukan dua tahun lalu di hospital berlainan bagi merawat masalah gastrik.

Tambah Jahangir meskipun sedikit kesal dengan apa yang berlaku, namun dia menganggap pemergian isteri tercinta adalah satu ketentuan Allah.

Kalau ikutkan hati memang nak ambil tindakan tetapi buat masa sekarang ini masih belum tahu lagi sebab perlu berbincang dari banyak sudut
JAHANGIR KHAN
SUAMI ROHANA JALIL

“Nak rasa ralat pun dah tak guna. Perkara sudah terjadi. Ini adalah takdir dari Allah,” ujarnya.

Mengimbau kenangan bersama Rohana, Jahangir menyifatkan Allahyarham sebagai seorang isteri yang baik dan jarang berlaku pergaduhan besar sepanjang 40 tahun mereka hidup bersama.

“Saya bagaikan masih boleh dengar suara dan gelak tawanya. Lebih 40 tahun hidup bersama, jarang berlaku masalah besar. Kami hidup bahagia dan dia adalah seorang isteri yang baik.

“Terlalu banyak kenangan manis bersama arwah untuk saya ceritakan,” kongsinya.

Sumber : Mstar

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.