Tegang di Kampung Sungai Baru: OCPD Cedera Dibalut Batu, Baki Penduduk Diusir Di Tengah Bantahan Keras

KUALA LUMPUR – Operasi pengusiran baki 15 penduduk Kampung Sungai Baru, di sini, yang enggan berpindah hari ini bertukar tegang dan huru-hara, mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman, cedera di kepala selepas terkena balingan batu.

Suasana di laluan masuk ke kampung itu tegang sejak awal pagi Khamis, dengan kehadiran besar anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang memasang khemah dan mengetatkan kawalan keselamatan. Operasi yang dijalankan oleh bailif mahkamah itu turut melibatkan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

@omgsekmung01 #foryoupage #2025 #omgsekmung #viraltiktok #news ♬ Very Sad – Enchan

Kekecohan memuncak apabila sekumpulan penduduk yang dihalang daripada memasuki kawasan operasi cuba merempuh benteng polis. Tindakan itu menyebabkan mereka membaling objek termasuk batu ke arah pihak berkuasa, dengan salah satunya mengenai Suzilme Affendy yang kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

- IKLAN -

Berikutan insiden itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, memberi amaran keras bahawa pihaknya akan “lawan habis-habisan” dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi bagi memastikan proses pengusiran berjalan lancar.

Operasi tetap diteruskan dengan arahan pecah pintu terpaksa dikeluarkan terhadap beberapa rumah yang penghuninya enggan keluar secara sukarela.

@malaysianowPolis banjiri Kg Sungai Baru bantu pengusiran penduduk | 11 September 2025 #MalaysiaNow #MNow #MNowNews #Malaysia #berita #beritatiktok #fyp #kampungbaru #kampungsungaibaru #anwaribrahim

♬ original sound – MalaysiaNow

Kritikan Keras dan Rayuan Mahkamah

 

Tindakan pengusiran ini mengundang kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk PAS yang menyifatkannya sebagai “amat tidak berperikemanusiaan” dan “zalim”. Ketua Penerangannya, Fadhli Shaari, mempersoalkan tindakan tergesa-gesa pihak pemaju, KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG), sedangkan rayuan penduduk dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.

“Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim. Pemaju sepatutnya menggunakan budi bicara dan menunggu sehingga proses rayuan selesai,” kata Fadhli, sambil menambah insiden ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ tentang apa yang bakal berlaku jika Akta Pembaharuan Bandar (PSB) diluluskan.

 

Inisiatif Penduduk Sendiri & Pampasan Jutaan Ringgit

Namun, di sebalik gambaran yang tular, Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus, tampil menjelaskan bahawa projek pembangunan semula itu sebenarnya adalah inisiatif penduduk sendiri sejak tahun 2016.

“Bukan pemaju yang datang cari kami, tetapi kami yang keluar mencari pemaju kerana keadaan rumah yang semakin uzur dan pajakan tanah yang semakin singkat,” katanya.

Sanita turut mendedahkan bahawa pampasan yang ditawarkan adalah sangat tinggi, iaitu pada kadar RM850 sekaki persegi berbanding penilaian kerajaan sebanyak RM400. Malah, katanya, pampasan bagi sebuah rumah teres ada yang mencecah antara RM1 juta hingga RM3.8 juta.

 

Pemaju Nafi Guna Kekerasan

Sementara itu, Pengarah KLCG, Abdul Hadi Ahmad, menegaskan bahawa proses pengusiran dijalankan sepenuhnya mengikut perintah mahkamah dan dikendalikan oleh bailif, bukannya syarikat pemaju. Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa KLCG mengupah samseng atau berniat mencetuskan kekacauan.

“KLCG mengecam cubaan mengaitkan syarikat dengan tindakan menyalahi undang-undang. Tuduhan ini mencemarkan reputasi kami dan sebarang penyebaran tuduhan palsu akan berdepan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Konflik pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula selepas kerajaan mewartakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 21 Jun 2021, melibatkan 410 unit kediaman. Penduduk yang membantah berhujah bahawa tanah itu adalah sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu (MAS) yang dilindungi sejak 1932.

Sumber – Malaysiakini