Bukan gen Z dan Alpha je, yang berusia pun ikut, ini teguran ustazah

Sempena Aidilfitri tahun ini, ramai individu dilihat menyertai trend menari sebelum mendapatkan duit raya bersama ahli keluarga di kampung.

Umum sedia maklum, setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri sudah tentu masyarakat seluruh Malaysia akan pulang ke kampung halaman dan berkumpul dengan sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa.

Seperti kebiasaan, ahli keluarga akan berbual-bual dan melakukan aktiviti beramai-ramai bagi meluangkan masa bersama. Dengan kecanggihan media sosial pada masa kini pula, ramai di kalangan masyarakat yang terjebak dengan trend tular di platform TikTok.

Bagaimanapun, mungkin ada segelintir individu yang terlepas pandang di mana trend tersebut boleh memudaratkan diri sendiri dan bercanggah dengan hukum hakam agama.

Trend Joget Sebelum Terima Duit Raya Semakin Menjadi-jadi

Baru-baru ini, tular hantaran di laman Facebook apabila pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun menegur individu yang mengikuti trend di media sosial termasuk TikTok yang perlu berjoget dahulu sebelum menerima duit raya.

- IKLAN -

Hal ini kerana aksi tersebut dianggap tidak menghormati bulan Syawal yang mulia ini.

Ia bukan sahaja diikuti oleh Gen Alpha atau Gen Z, bahkan individu lebih tua termasuk golongan warga emas juga sama-sama tidak terlepas menyertai trend yang berlatarkan lagu ‘Hej Muzycko’ itu.

“Tolong fikir sebelum ikut trend ambil duit raya kena joget. Lepas tu rakam dan muat naik (di media sosial). Ramai wanita Islam tua dan muda buat (benda) sama. Syawal ibarat mereka yang balik Haji,” kata beliau.

Jangan Normalisasi Aksi Berjoget & Papar Di Media Sosial

Jelas Ustazah Asma’, orang ramai khususnya umat Islam sepatutnya lebih menjaga adab dan berkelakuan senonoh selepas bulan Ramadan.

“Lepas sebulan Ramadan, sepatutnya kita lebih berakhlak. Jangan biasakan,” tambah pendakwah itu lagi.

Ramai Setuju Dengan Pandangan & Nasihat Ustazah Asma’

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju dengan teguran Ustazah Asma’ mengenai trend tersebut.

“Setuju. Benda yang tak elok memang mudah nak jadi ikutan. Zaman sekarang amat menakutkan macam tak ada rasa apa-apa bila buat benda tak elok.

“Jadi sedih tengok. Sebab orang tua pun sama naiknya. Semoga Allah melindungi kita semua,” kata seorang pengguna Facebook.

Malah ada segelintir individu yang berkata mereka lebih rela tidak dapat duit raya berbanding perlu berjoget bagi mendapatkannya.

“Setakat ni, tak pernah lagi terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti joget ni. Tak dapat duit raya pun tak apa. Aku rela daripada disuruh joget-joget ni. Semoga diri ini terus dikuatkan iman,” ujar seorang wanita.

Sementara itu, ramai juga menasihati agar golongan ibu bapa menegur anak-anak agar tidak terjebak dengan trend sebegini.

“Terfikir benda sama. Pada saya, kanak-kanak tu boleh terima, ni masalahnya mak-mak budak. Pakai tudung tak tutup dada. Lagi-lagi yang berbadan besar. Melompat-lompat depan lelaki pula tu. Entahlah nak tegur kata tak ikut perkembangan semasa pula,” kata seorang netizen.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun