Kisah Inspirasi: Warga Emas Berusia 77 Tahun Bertemu Jodoh Setelah 50 Tahun Terpisah

Siapa sangka, pada usia 77 tahun, seorang wanita akhirnya bertemu jodoh buat pertama kali dalam hidupnya! Azizah Alias, seorang pesara kerajaan, telah selamat bernikah dengan Profesor Datuk Dr Md Sham Kassim, 81 tahun, dalam majlis sederhana yang berlangsung di Kampung Lada, Rembau pada hari Sabtu.

Kisah cinta mereka unik kerana pasangan ini sebenarnya sudah saling mengenali sejak zaman sekolah, namun terpisah lebih 50 tahun sebelum akhirnya dipertemukan semula.

Azizah berkongsi bahawa perkenalan semula berlaku secara tidak sengaja selepas mendapat mesej daripada anak saudaranya yang juga bekas pelajar Md Sham.

Azizah dan Md Sham selamat diijabkabulkan pada Sabtu.

- IKLAN -

“Mula-mula terkejut juga bila dapat tahu pensyarah dia nak kenal saya. Bila tengok nama, rupa-rupanya memang kami kenal masa sekolah dulu,” ujarnya.

Selepas itu, mereka mula berhubung semula dan akhirnya bersetuju untuk melangkah ke alam perkahwinan. Azizah yakin menerima Md Sham sebagai suami kerana percaya lelaki itu adalah pasangan terbaik buat dirinya.

“Saya pun dapat galakan dari keluarga dan anak-anak saudara. Mereka semua sokong keputusan saya,” tambahnya.

Walaupun pada zaman muda terdapat lelaki yang cuba mendekatinya, Azizah memilih untuk tidak membuka hati kepada percintaan atau perkahwinan pada waktu itu.

Gambar perkahwinan Azizah Alias, 77, dan Profesor Datuk Dr Md Sham Kassim, 81, yang berlangsung pada Sabtu di Kampung Lada, Rembau.

“Saya tak pernah rasa tertekan hidup seorang diri. Saya selalu percaya jodoh itu urusan Allah. Kalau dah tertulis, lambat atau cepat tetap akan sampai,” katanya penuh keyakinan.

Md Sham, bekas pakar perubatan kanak-kanak, menceritakan bahawa selepas kehilangan isterinya enam bulan lalu, dia merasa hidupnya sunyi dan mula teringatkan Azizah.

“Lepas isteri meninggal, saya rasa hidup ini sunyi sangat. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak cari Azizah semula. Kebetulan anak murid saya rupanya anak saudara dia. Jadi saya minta tolong dapatkan nombor telefon Azizah,” jelasnya.

Md Sham juga tertarik dengan keperibadian Azizah yang mesra dan baik hati. Namun, keputusan beliau untuk berkahwin semula pada usia sebegitu agak berat diterima anak-anaknya pada mulanya.

“Saya jelaskan pada anak-anak, pada usia sekarang, saya perlukan teman hidup. Alhamdulillah, akhirnya mereka faham dan restu keputusan saya,” katanya yang mempunyai empat anak dan enam cucu.

Kisah mereka membuktikan bahawa jodoh adalah rahsia Allah. Jika sudah tertulis, pasti akan bertemu kembali walaupun selepas berpuluh tahun terpisah!

Kredit – Sinar Harian